Hayati karya seni kemerdekaan


KHALID (kiri) menerangkan mengenai lukisannya kepada dua pengunjung.


SEMPENA bulan kemerdekaan ini, aneka program berkaitannya telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak dalam usaha memeriahkan sambutannya.

Bagi pemilik galeri seni Art Market Malaysia, Hazrita Hatta, dia memilih untuk menganjurkan pameran seni bertemakan kemerdekaan dan Malaysia bertempat di Galeri Seni The Ledge, pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor untuk meraikannya.

Katanya, bagi pameran itu, kira-kira 60 buah lukisan dan hasil seni akan dipamerkan kepada orang ramai selama sebulan bermula 14 Ogos hingga 13 September ini.

“Boleh dikatakan kesemua hasil seni yang dipamerkan itu merupakan lukisan yang mempunyai kaitan dengan tema kemerdekaan dan Malaysia termasuklah bangunan atau acara-acara yang pernah berlangsung.

“Kesemua lukisan tersebut dihasilkan oleh kira-kira 40 pelukis muda dan berbakat dari seluruh negara,” katanya ketika ditemui di pusat beli-belah 1 Utama baru-baru ini.

Hazrita berkata, bagi memastikan galerinya terus menjadi tumpuan pengunjung, selepas pameran bertemakan kemerdekaan dan Malaysia itu, pihaknya akan menganjurkan pula pameran seni bertemakan bangunan mercu tanda dunia. Ia akan melibatkan antara 20 hingga 30 pelukis tanah air.

Pameran yang dijadualkan bermula 14 September hingga 8 Oktober depan itu akan mempamerkan sekurang-kurangnya 30 buah lukisan.

Katanya, setiap pameran yang dianjurkan pihaknya akan turut melibatkan pelukis-pelukis dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU).

Seorang pelukis yang terlibat dengan pameran bertemakan kemerdekaan dan Malaysia, Khalid Mohd. Sapari, 46, berkata, dia menjadikan bangunan-bangunan bersejarah dan bernilai seni sebagai subjek utama dalam menghasilkan lukisan.

“Sejak terlibat secara serius dalam bidang seni, saya banyak memberi fokus kepada penghasilan lukisan bangunan-bangunan warisan di negara ini.

“Pada pendapat saya, setiap bangunan mempunyai nilai seninya yang tersendiri selain mempunyai cerita di sebaliknya yang boleh ditonjolkan dalam bentuk lukisan.

“Sehingga kini, saya sudah menghasilkan lebih daripada 100 buah lukisan bertemakan bangunan bersejarah sama ada untuk dijadikan koleksi peribadi atau untuk dijual kepada mereka yang berminat,” katanya.

Mercu

Jelasnya, kesemua lukisan yang dihasilkannya itu menggunakan panel kayu sebagai bahan utama selain media pensel warna, dakwat dan akrilik cecair.

Dalam pada itu, seorang pelukis penghidap autisme, Pua Jhe Xuan, 23, yang bakal terlibat dalam pameran bertemakan bangunan mercu tanda dunia berkata, dia akan mempamerkan sebahagian kecil daripada lebih 200 lukisan yang telah dihasilkannya.

Menurutnya, walaupun telah memiliki galerinya sendiri, namun dia bersedia untuk berkongsi karyanya dengan menyertai pameran yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

“Saya ingin membuktikan bahawa pelukis OKU seperti saya juga turut mempunyai bakat dalam menghasilkan pelbagai hasil seni dan lukisan, sama seperti orang normal yang lain.

“Mungkin ada antara hasil lukisan tersebut kelihatan biasa-biasa sahaja bagi kebanyakan orang, tetapi ia mempunyai nilainya yang tersendiri, lebih-lebih lagi apabila dihasilkan oleh orang seperti kami,” katanya.

Seorang pelukis muda, Nor Atirah Zuraimi, 22, juga bakal mempersembahkan lukisannya untuk pameran bertemakan bangunan mercu tanda dunia yang akan berlangsung pada September depan.

Menurut Nor Atirah, dia yang merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ingin menggunakan tawaran terlibat dalam pameran tersebut untuk membina nama di arena seni tanah air.

Lokasi: Galeri Chandan, Publika,

Solaris Dutamas, Kuala Lumpur

Tarikh: Sehingga 19 Ogos 2017

Masa: 10,30 pagi hingga 7 malam

Laman web: http://galerichandan.com/