Inspirasi jaket jalanan Stail Seratus


Pilihan warna hitam dan biru kelasi tonjol sisi ranggi sang jejaka.


Konsep pakaian jalanan (streetwear) semakin menjadi pilihan masyarakat tempatan terutamanya dengan kesedaran masyarakat mengenai fesyen masa kini.

Ini kerana pakaian jalanan itu lebih mudah untuk digayakan sebagai pakaian harian selain sesuai dipakai dalam apa jua keadaan.

Melihat kepada faktor cuaca negara Asia yang panas dan lembap sepanjang tahun, pasti masyarakat tempatan mahu tampil selesa, sekali gus mengekalkan imej mereka.

Bagi memenuhi kehendak pasaran tempatan, Stail Seratus berkongsi koleksi Bomber Jacket terbaharu iaitu Unit Udara Stail Seratus.

Menurut Pengasas Bersama Stail Seratus, Mohamad Shahir Mohamad Suhaimi, 29, koleksi jaket itu menonjolkan kelainan daripada aspek tema iaitu bercirikan elemen perajurit ketenteraan.

“Keistimewaan koleksi ini ialah ia disertakan dengan kemasan patch sayap pada bahagian dada dan zip emas bagi menonjolkan unsur ketenteraan.

“Selain itu, koleksi Unit Udara ini menampilkan potongan langsing yang menyerlahkan maskulin sang jejaka ketika menghadiri majlis tertentu mahupun sebagai pakaian harian.

“Sesuai dengan trend masa kini, Bomber Jacket ini mudah digayakan dalam apa jua situasi biarpun hanya dengan seluar jean,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Koleksi yang mengutamakan potongan lebih moden itu sesuai bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak seperti mendaki gunung.

Mengenakan tulisan stail seratus pada bahagian dada, ia memberikan gambaran bahawa si pemakai yakin dengan stail yang digayakan.

Koleksi Unit Udara itu hadir dalam dua warna pilihan iaitu hitam dan biru kelasi yang menyerlahkan lagi elemen maskulin sang jejaka.

Penampilannya yang segar menyebabkan koleksi Unit Udara itu menjadi rebutan lelaki dalam kalangan belia termasuk golongan dewasa.

Pemilihan fabrik


Stail Seratus turut membawakan koleksi baju-T Unit Udara.


Bagi memenuhi kehendak golongan lelaki terutamanya mereka yang menjalani gaya hidup aktif, persalinan itu juga menitikberatkan pemilihan fabrik yang sesuai.

Bomber Jacket itu diperbuat daripada fabrik mikrofiber iaitu sejenis kain yang sejuk, mudah menyerap peluh, tidak mudah renyuk selain tidak memerlukan penjagaan rapi.

Selain itu, Stail Seratus turut membawakan koleksi baju-T, parka dan beg tote yang bertemakan unit udara ketenteraan.

Jelasnya, koleksi Unit Udara Stail Seratus mampu menjadi nafas baharu fesyen jalanan yang menggabungkan inspirasi perajurit serta menampilkan imej ranggi.