Tawar khidmat pemudah cara ibadah korban

Khairul Zaaim’ (tengah) bergambar bersama dua rakannya, Afiq Jani (kanan) dan Nurasamullah.


SETIAP kali tibanya musim haji, ramai orang tidak mahu melepaskan peluang untuk melakukan ibadah korban dan permintaan itu semakin bertambah saban tahun.

Teruja dengan perkembangan itu, tiga orang anak muda menubuhkan Cahaya Qurban Sdn. Bhd., pada Mei lalu untuk menjadi pemudah cara bagi individu yang berhajat menunaikan ibadah korban.

Syarikat itu diterajui oleh Khairul Zaaim’ Hashim selaku Ketua Pegawai Eksekutif manakala Afiq Jani bertindak sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Nurasamullah Roslan (Ketua Pegawai Kewangan).

Menurut Khairul Zaaim’, 31, mereka yang sering membantu masyarakat melaksanakan ibadah korban sejak lima tahun lalu terpanggil untuk menubuhkan syarikat itu kerana menerima permintaan tinggi daripada orang ramai.

“Ekoran daripada itu, tercetus idea untuk menubuhkan syarikat ini kerana kami mahu menggalakkan orang ramai melakukan amalan sedekah dengan mengagihkan daging korban pada Hari Raya Aidiladha.

“Daging korban itu akan diberikan kepada masyarakat setempat, asnaf, golongan miskin dan urus setia,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, Cahaya Qurban Sdn. Bhd., ingin menjadi syarikat pelaksana dan pengurus ibadah korban untuk masyarakat Islam di seluruh Malaysia.

Syarikat itu akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlaksanaan ibadah korban di Malaysia kerana masih ramai yang memerlukan sumbangan tersebut.

Ibadah korban itu akan dilaksanakan di 11 buah negeri iaitu Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Bagi melancarkan urusan itu, setiap negeri mempunyai pengurus pelaksana dan bekalan lembu diperoleh dari ladang ternakan terpilih seperti di Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kami mempunyai pusat penyembelihan di setiap negeri dan peserta boleh ke sana untuk menyaksikan sendiri Program #indahyaqurban.

Tawaran harga


Pihak Syarikat Cahaya Qurban Sdn. Bhd. melakukan lawatan dan pemantauan di ladang ternakan lembu yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


“Bagi individu yang tidak berkesempatan, kami turut menyediakan live streaming untuk menyaksikan penyembelihan pada pagi Hari Raya Aidiladha itu berlangsung,” jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Bercerita tentang harga setiap bahagian lembu yang ditawarkan oleh syarikat itu, Khairul Zaaim’ memberitahu, sebahagian lembu bernilai RM650 manakala seekor pula RM4,550.

Peserta akan diberikan sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan dalam tempoh 40 hari selepas program itu berlangsung.

Selain memberikan perkhidmatan ibadah korban, syarikat itu juga akan menyediakan perkhidmatan akikah.

Bagi meringankan beban dan membolehkan semua orang melakukan ibadah korban serta akikah, syarikat itu merancang untuk memperkenalkan sistem auto debit bermula sekitar bulan Oktober atau November tahun ini.

“Individu yang berminat juga boleh melakukan pemotongan gaji pada setiap bulan bagi membolehkan mereka menyertai program itu pada masa akan datang.

“Kami berharap lebih ramai generasi muda untuk menyertai program ini dan bersama-sama bersedekah kepada mereka yang memerlukan di Malaysia,” tutur anak bongsu daripada lima adik-beradik itu.

Mengulas mengenai perancangan pada masa hadapan, dia memberitahu, syarikat itu telah merangka beberapa usaha penting dalam memajukan perusahaan tersebut.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami mahu mempunyai ladang ternakan lembu dan kambing yang terbesar serta berteknologi tinggi.

“Pada masa sama, kami ingin menggalakkan orang muda menceburi bidang pertanian moden. Ini kerana bekalan lembu dalam negara masih belum mencukupi terutamanya pada musim korban,” ujarnya yang aktif melakukan aktiviti sukarelawan dan kebajikan.

Ketiga-tiga anak muda itu berharap, rakyat Malaysia akan memberi kepercayaan dan peluang kepada mereka untuk membantu melancarkan ibadah tersebut walaupun syarikat berkenaan masih baru beroperasi.