Platform mudah mencari pasangan hidup

MOHD. NOR SAIFUL menunjukkan portal tilljannah.my yang boleh digunakan untuk mencari pasangan hidup.


“APABILA umur menjangkau 31 tahun, saya sering diajukan soalan bila mahu berkahwin?

“Kadangkala saya tiada jawapan untuk menjawab persoalan itu,” kata seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Hanafi.

Bagi Hanafi, dia mempunyai keinginan untuk mendirikan rumah tangga tetapi sifat pemalu kepada wanita membuatnya tiada insan istimewa untuk dijadikan isteri.

Namun, ketika melayari laman sosial Facebook, dia ternampak iklan portal tilljannah.my

“Sebaik sahaja melihat iklan itu, saya terus membuka laman web portal tersebut untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

“Tilljannah.my merupakan satu portal untuk mencari jodoh. Tanpa berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk mendaftar diri di portal itu,” jelas Hanafi.

Tambahnya, dia tertarik dengan portal itu kerana ia lebih bersifat Islamik dan pengendali portal tersebut akan membuat tapisan terlebih dulu ketika borang permohonan diisi.

Setelah permohonan diterima, Hanafi mula mencari wanita-wanita yang turut berdaftar di portal sama.

Hanafi berkata, mudah untuk mencari pasangan di portal itu kerana mereka yang mendaftar mempunyai tujuan yang sama iaitu mencari calon untuk dijadikan pasangan hidup.

“Portal ini juga mudah untuk diakses. Segala maklumat lengkap mengenai calon seperti umur, pekerjaan dan negeri kelahiran dipaparkan pada profil masing-masing.

Hanafi membuat keputusan yang tepat apabila mesej yang dikirimkan kepada seorang wanita dibalas.

Sejak itu, mereka mula berkenalan antara satu sama lain melalui portal tersebut.

Kejujuran dan keberanian Hanafi berjaya menambat hati pasangannya. Selepas dua minggu berkenalan dan berhubung melalui portal itu, dia bertekad untuk bertemu keluarga wanita tersebut.

Mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk bertunang sebelum melangsungkan perkahwinan pada Mac lalu.

“Saya rasa bersyukur kerana melalui portal ini, hasrat saya untuk mendirikan rumah tangga dimakbulkan.

“Setiap orang tidak sama jalan ceritanya, mungkin takdir saya bertemu jodoh melalui platform ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengurus tilljannah.my , Mohd. Nor Saiful Ghazali berkata, portal tersebut mula beroperasi pada Mac 2016.

Menurutnya, portal itu adalah satu pemudah cara bagi mereka yang ingin mencari jodoh mendapatkan pasangan.

“Tidak dapat dinafikan, ada sesetengah masyarakat kita berhadapan dengan beberapa kekangan untuk bertemu jodoh seperti terlampau sibuk dengan kerja dan sebagainya.

Jaringan luas


Terdapat pengguna yang bertemu jodoh setelah menggunakan portal itu. – Gambar hiasan


“Jadi, melalui portal ini, ia menjadi satu platform yang mudah untuk mencari dan berkenalan dengan mereka yang mempunyai tujuan sama,” katanya.

Tambahnya, melalui portal itu, mereka yang berdaftar mempunyai jaringan luas untuk mencari jodoh kerana ia melibatkan calon dari seluruh Malaysia.

Dengan hanya beberapa langkah mudah, pengguna boleh mendaftar secara percuma melalui laman web tilljannah.my .

Pengguna perlu mengisi borang terlebih dulu dan sekiranya permohonan mereka menepati syarat oleh pengendali portal, mereka boleh melihat profil calon-calon lain yang turut mendaftar.

Mohd. Nor Saiful berkata, pihaknya juga mempunyai garis panduan yang ketat sebelum meluluskan sesuatu permohonan bagi mengelakkan sebarang penipuan.

“Syarat utama untuk mereka yang ingin berdaftar dengan portal ini mestilah Muslim, warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas dan status dirinya perlu bujang, duda ataupun janda.

“Setiap permohonan yang diterima akan ditapis dengan teliti terlebih dulu dan sekiranya terdapat sesuatu yang mencurigakan, kami akan meminta maklumat tambahan,” jelasnya.

Tambahnya, mereka juga mempunyai beberapa cara yang diguna bagi memastikan ketulenan maklumat yang diberikan.

Antara cara yang digunakan sekiranya permohonan itu mencurigakan, pengendali portal akan meminta salinan pengenalan diri untuk rujukan.

Sehingga kini tiada laporan tentang profil palsu dilaporkan oleh pengguna yang lain.

Selepas lebih setahun beroperasi, portal tilljannah.my kini mempunyai lebih 14,000 ahli berdaftar dan 2,000 daripada jumlah itu merupakan ahli premium.

Bagi memudahkan proses mengenali calon, pengguna dinasihatkan untuk menjadi ahli premium.

“Untuk berkomunikasi dengan calon-calon lain melalui mesej yang disediakan di dalam portal ini, mereka yang berdaftar perlu menjadi ahli premium.

“Sekiranya berdaftar sebagai ahli biasa, pengguna hanya boleh sampaikan salam.

“Untuk menjadi ahli premium, kami mengenakan bayaran sebanyak RM20 sebulan. Tujuan bayaran itu adalah sebagai kos untuk menampung keperluan kami menggerakkan portal ini,” jelas Mohd. Nor Saiful.

Bertemu pasangan


Portal tilljannah.my juga boleh diakses menggunakan telefon pintar.


Tambahnya, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada individu yang pernah menggunakan portal ini, lebih 90 pasangan berjaya bertemu pilihan hati masing-masing.

Setelah bertemu pasangan masing-masing, pengguna boleh memaklumkan kepada pengendali portal untuk menutup profil mereka.

Dalam pada itu, Mohd. Nor Saiful berkata, perjuangan yang ingin disampaikan oleh tilljannah.my selaku platform kepada perkhidmatan mencari jodoh adalah untuk membantu seramai mungkin individu Muslim di luar sana mendapat jodoh yang terbaik tanpa perlu melanggar batas-batas pergaulan atau ikhtilat yang telah ditetapkan oleh agama.

“Kami juga ingin mengubah stigma masyarakat yang mengatakan, tidak perlu perigi mencari timba iaitu wanita tidak perlu mencari lelaki.

“Tidak dinafikan, ramai wanita yang mendaftar di portal ini mempunyai kerjaya yang baik-baik tetapi sifat pemalu untuk berkenalan secara bersemuka dan kesibukan kerja menghalang mereka mendapatkan calon.

“Jadi, kami mahu jadikan portal ini sebagai pemudah cara untuk mereka mencari calon yang turut mempunyai keinginan sama.

“Mereka boleh mengenali antara satu sama lain melalui alam maya terlebih dulu. Jika kedua-dua yakin dengan pasangan masing-masing, mereka boleh bergerak ke fasa yang seterusnya,” jelasnya.