Semenanjung Korea tegang lagi

REUTERS - DUA pesawat pengebom B-1B (atas) terbang dari Pangkalan Tentera Udara Andesen, Guam dengan diiringi dua jet pejuang Jepun pada 8 Ogos lalu.


TOKYO – Jet Jepun melakukan latihan udara bersama pesawat pengebom Amerika Syarikat (AS) di barat daya Semenanjung Korea semalam ketika Korea Utara mempertimbangkan rancangan untuk melancarkan peluru berpandu ke wilayah AS di Lautan Pasifik, Guam.

Latihan udara di Laut China Timur itu melibatkan dua pesawat pengebom Tentera Udara AS, B-1B Lancers yang berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Andersen di Guam dan dua jet pejuang F-15 Jepun.

“Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dan kemahiran bertempur,” kata Pasukan Pertahanan Diri Jepun dalam satu siaran akhbar.

Pesawat B-1B yang direka untuk membawa bom nuklear telah beberapa kali terbang di rantau Asia Timur sejak beberapa minggu lalu.

Selain latihan udara bersama jet pejuang Jepun, pesawat pengebom AS itu turut berlatih dengan jet pejuang Korea Selatan.

Latihan udara semalam diadakan selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menangguhkan keputusan melancarkan peluru berpandu ke Guam, namun situasi di Semenanjung Korea masih tegang.

Korea Utara tidak merahsiakan rancangannya untuk membina peluru berpandu keupayaan nuklear yang berupaya menyerang tanah besar AS bagi menangani latihan tentera oleh AS, Korea Selatan dan Jepun.

Korea Utara menganggap latihan tentera itu sebagai ancaman terhadap keselamatan negaranya.

Ancaman Pyongyang mendorong Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa tentera AS sudah bersiap sedia untuk menyerang sekiranya Korea Utara bertindak secara tidak waras. – Reuters