Enam bangunan di Jeddah terbakar


AGENSI - KOMBINASI gambar di laman Twitter menunjukkan anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di daerah Al-Balad, Jeddah kelmarin.


JEDDAH – Satu kebakaran melibatkan enam buah bangunan, tiga daripadanya ranap, berlaku di pusat bersejarah di Jeddah kelmarin, lapor portal berita Arab News.

Beberapa pegawai berkata, seramai 60 orang dipindahkan dalam bencana itu.

“Pasukan penyelamat memindahkan kira-kira 60 orang ke kawasan selamat ketika anggota-anggota bomba berusaha memadamkan api.

“Semua bangunan terbabit berada dalam kawasan bersejarah di Jeddah,” kata jurucakap pasukan pertahanan awam wilayah kota suci Mekah, Kolonel Saeed Sarhan.

Datuk Bandar Daerah Al-Balad, Sami Nawar memberitahu, antara bangunan yang terjejas termasuk bernama Al-Qumsani, Al-Ashmawi dan Abdel-Aal.

Lebih 12 orang anggota bomba dan penyelamat dari Direktorat Besar Pertahanan Awam dikerahkan untuk membantu memadamkan api.

“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu menjelang pukul 10 malam kelmarin (waktu tempatan).

“Menurut maklumat awal, api bermula di dalam sebuah bangunan setinggi empat tingkat yang diperbuat daripada batu-bata dan berbumbung kayu,” kata Sami.

Saeed pula mengesahkan bahawa bencana itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kematian.

Al-Balad merupakan pusat bersejarah di Jeddah dan pintu utama menuju ke kota suci Mekah dan Madinah.

– Agensi