Percubaan Cinta Semalam Nazrief Nazri

CUBA - Baru berusia 26 tahun, Nazrief mahu mencuba semua kemampuannya dalam bidang seni.


SEJAK di bangku sekolah, Nazrief Nazri begitu meminati bidang seni suara. Jika berkesempatan menyanyi di hadapan rakan-rakannya sempena majlis-majlis besar, pemilik nama lengkap, Mohamad Nazrief Mohamad Nazri itu pasti tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian.

Disebabkan minat yang mendalam untuk bergelar penyanyi, pelakon kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu cuba mempercaturkan nasibnya ke sesi uji bakat Akademi Fantasia musim ketujuh sekitar lapan tahun lalu.

Namun, tidak semua yang direncanakan Nazrief berjalan mengikut kehendak hatinya. Disebabkan belum sampai tahap kelayakan umur, Nazrief terpaksa pulang dengan hati yang hampa.

“Pada waktu itu, uru setia uji bakat Akademi Fantasia memberitahu bahawa umur saya belum cukup 18 tahun untuk menyertai pertandingan tersebut.

“Jadi mahu atau tidak, saya terpaksa pulang dengan berat hati,” katanya membuka bicara.

Rezeki

Biarpun ketika itu semangatnya masih berkobar-kobar, hasrat hati Nazrief untuk terus mencuba nasib dalam bidang nyanyian terpaksa dilupakan seketika apabila dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran.

“Impian untuk bergelar penyanyi saya tangguhkan apabila diterima masuk ke UNIKL Mimet, Lumut, Perak bagi mengikuti kursus Pengurusan Maritim.

“Tanpa disangka, rezeki lain pula datang bertandang. Ketika masih dalam pengajian, saya diterima untuk mengikuti pertandingan Hero Remaja pada 2012,” katanya.

Bertitik tolak daripada penyertaannya itu, Nazrief semakin aktif berlakon. Saban hari wajahnya kerap menghiasi slot-slot drama popular di televisyen.

Antara drama bersiri yang dibintanginya termasuklah Suami Sebelah Rumah, Lara Terindah, Nasi Minyak Kuah Cinta dan terbaharu, Urusan Hati Cik Drama Queen.

Sungguhpun namanya kian dikenali sebagai pelakon, separuh jiwa Nazrief masih setia mengimpikan sebuah karier dalam bidang nyanyian.

Justeru, apabila disunting oleh pengurusan baharu iaitu MindOrder baru-baru ini, jejaka berusia 26 tahun itu segera menyuarakan hasratnya yang telah lama dipendam.

Puas

“Apabila dilamar untuk bernaung dengan MindOrder, saya turut menyuarakan hasrat kepada pihak pengurusan supaya dapat mengatur karier nyanyian yang lama tertangguh.

“Menurut pihak pengurusan, mereka tidak mempunyai masalah untuk permintaan itu dan alhamdulillah, single perdana saya iaitu Cinta Semalam telah diterbitkan hujung Jun lalu,” katanya lagi.

Mampu tersenyum puas dengan statusnya kini sebagai penyanyi profesional, Nazrief berkata, lagu ciptaan Room None itu telah melalui banyak penyanyi sebelum sampai ke tangannya.

“Cinta Semalam pada asalnya dicipta untuk penyanyi lain. Selepas beberapa kali ditolak kerana tidak menepati skala vokal mereka, lagu tersebut akhirnya sampai ke tangan saya.

“Sejujurnya, lagu tersebut mempunyai melodi yang bagus dan begitu besar potensinya untuk mengetengahkan suara saya dalam pasaran muzik arus perdana,” katanya yang merakamkan lagu tersebut pada April lalu.

Biarpun baru pertama kali merakamkan suara bagi sebuah single, ia tidak menjadi masalah buat Nazrief untuk menyiapkan rakaman dalam masa yang singkat.

“Walaupun sedikit gugup pada awal sesi rakaman, saya akhirnya berjaya merakam lagu ini sekitar tiga jam sahaja.

“Barangkali, ia hasil bantuan Bob Yusof yang menjadi guru vokal saya beberapa minggu sebelum proses rakaman berjalan,” katanya yang begitu teruja sepanjang proses rakaman berlangsung.

Pertama kali mendengar suaranya sendiri selepas siap dirakam, Nazrief mengakui berasa bangga.

“Saya sendiri seperti tidak percaya apabila mendengar kembali suara yang telah dirakam. Maklumlah, impian untuk bergelar penyanyi telah saya sematkan dalam jiwa sejak kecil.

“Jadi, sudah tentu saya berasa teruja dan bangga apabila mempunyai single sendiri,” katanya yang cenderung untuk menyanyikan lagu-lagu berentak balada.

Anugerah

Ditanya apakah harapannya terhadap Cinta Semalam, Nazrief berkata, dia tidak mahu dikenali sebagai pelakon yang sekadar melahirkan single atas dasar mengikut trend semasa.

Tutur Nazrief, dia mahukan sebuah usaha yang berterusan agar hasilnya nanti berakhir dengan sebuah pengiktirafan.

“Barangkali ada yang berkata, saya merakamkan lagu hanya kerana mahu mengikuti perkembangan semasa. Mereka silap sebab saya mahu kekal lama dalam industri muzik.

“Saya juga inginkan sebuah album dan tapak menyanyi di atas pentas anugerah. Itu impian saya,” ujar Nazrief dalam nada positif.

Berkongsi mengenai impiannya yang lain, Nazrief berhasrat untuk bekerjasama dengan penyanyi Faizal Tahir dan Afgan pada masa akan datang.

“Saya menyukai lagu-lagu Faizal menerusi album baharunya, Anatomi. Bagi saya, lagu tulisan Faizal kedengaran mahal.

“Begitu juga dengan Afgan yang aliran muziknya begitu dekat dengan jiwa saya. Jika diberikan kesempatan dan dimurahkan rezeki, saya teringin untuk berkolaborasi dengan dua figura ini,” tutup Nazrief.