Kreativiti landskap tarikan utama pengunjung ke Spritzer Ecopark

Spritzer Ecopark menjadi lokasi tarikan terbaharu pelancongan di Taiping, Perak.


SEBAIK tiba di taman rekreasi Spritzer Ecopark, mata penulis tertancap melihat kehijauan dan panorama indah kawasan berbukit yang ditumbuhi pokok pelbagai spesies itu.

Terletak di Jalan Reservoir, Off Jalan Air Kuning, Taiping, Perak, usaha syarikat pengeluar air galian terkemuka negara Spritzer Berhad (Sprtizer) mewujudkan taman itu sangat dihargai.

Tiada sesiapa yang menduga di hadapan kilang pemprosesan air galian itu terdapat sebuah taman yang unik.

Kunjungan anda pasti berbaloi kerana taman rekreasi itu mempunyai tarikan tersendiri termasuk keunikan landskap keindahan alam semula jadi Bukit Larut atau Bukit Maxwell.

Meliputi kawasan seluas kira-kira dua hektar daripada keseluruhan 133 hektar kawasan milik Spritzer, keindahan landskap taman rekreasi itu bukan sahaja menarik tumpuan pengunjung tetapi menjadi lokasi riadah serta santai seisi keluarga.

Salah seorang pengunjung, Ahmad Fadrul Ahmad Nawawi, 32, berkata, ini merupakan kunjungan kali kedua dia dan keluarganya ke taman rekreasi tersebut.

Katanya, meskipun dia sampai di lokasi itu pada waktu tengah hari, keadaan cuaca masih redup kerana ia dilitupi pokok-pokok yang tumbuh rendang.

“Sambil menikmati keindahan alam dan keunikan landskap di sini, kami turut berpeluang beriadah bersama di lapangan mini golf 18 lubang dengan bayaran yang sangat berpatutan.

“Kami sekeluarga dapat bermain golf bersama sepuas-puasnya kerana tiada had masa yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.

“Selain itu, kami turut dihadiahkan sebotol air berbentuk bola golf setiap seorang sebagai tanda kenang-kenangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Spritzer Ecopark, Taiping, Perak baru-baru ini.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, dia amat berpuas hati dengan kemudahan lain yang disediakan oleh pihak pengurusan.

“Mereka turut menyediakan sebuah Kidz Zone bagi memberi peluang kepada kanak-kanak yang ingin menjalankan aktiviti reka cipta menggunakan barangan kitar semula seperti kotak dan botol minuman,” ujarnya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Sementara itu, menurut Eksekutif Media Sosial Spritzer, Choo Pei Wei, pihak pengurusan mengekalkan tumbuhan dan pokok hutan asal, sekali gus mewujudkan persekitaran yang sejuk dan mendamaikan bagi memastikan keindahan kawasan itu terus terpelihara.

Tarikan utama


BERMAIN golf memberikan satu pengalaman baharu kepada kanak-kanak.


“Antara pokok hutan yang dikekalkan ialah ara (Moraceae ficus variegata), semarak api (Legummosae delonix regia), terap nasi (Moraceae artocarpus elasticus) dan jemerlang laut (Leguminosae peltophorum pterocarpum),” katanya.

Selain itu, Pei Wei memberitahu, antara tarikan utama lain yang terdapat di taman rekreasi itu ialah laluan penjalan kaki yang dibina menggunakan kayu landasan jalan kereta api lama di Taiping.

“Ia bermula dengan pintu masuk utama dengan susunan 216 batang kayu landasan lama yang diselang-selikan batuan sungai halus bagi mewujudkan suasana dan corak yang begitu menarik.

“Laluan unik ini dibina menuju ke satu lagi tempat paling menarik iaitu bongkah batu granit setinggi tiga meter berbentuk pokok kaktus.

“Pada masa sama, kayu landasan lama itu turut dijadikan hiasan dan latar belakang kepada mercu tanda nama taman rekreasi berkenaan,” ujarnya.

Pei Wei menambah, bongkah batu menyerupai pokok kaktus yang terbentuk secara semula jadi itu didakwa berusia 214 juta tahun.

Jabatan Mineral Geosains memperakui keaslian batu granit itu yang usianya sezaman dengan era Triassic iaitu tempoh antara 199 juta hingga 250 juta tahun lalu.

“Disebabkan bentuknya menyerupai pokok kaktus, ia diberikan nama Cactus Rock atau Batu Kaktus. Bentuk ini terhasil kesan daripada proses semula jadi tindak balas kimia atau luluhawa dan hakisan air.

“Spritzer Ecopark beruntung kerana Batu Kaktus berada dalam kawasan taman rekreasi yang diwujudkan pada Julai 2015 dengan kos RM1 juta bagi pembangunan fasa pertama ini,” katanya sambil memberitahu, terdapat sebuah anak sungai jernih yang mengalir dari Bukit Larut.

Pencinta alam

Tambahnya lagi, semua kerja landskap di situ juga adalah hasil kreativiti pekerja Spritzer Ecopark sendiri selepas merujuk kepada laman sosial dan menerusi beberapa pembacaan.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung, Faruq Iskandar, 31, mengakui Spritzer Ecopark mempunyai tarikan yang tersendiri sehingga menjadikan dia berasa tenang dan damai tatkala berada di taman rekreasi itu.

“Saya merupakan seorang penggemar aktiviti luar dan pencinta alam semula jadi.

“Disebabkan faktor keterbatasan waktu akibat kekangan kerja, aktiviti luar tidak dapat dibuat sekerap dahulu,” ujarnya sambil tersenyum.

Katanya, peluang untuk dia melawat kawasan sekitar Spritzer Ecopark sambil ditemani keindahan panorama tumbuhan dan pokok hutan berkenaan sudah cukup melepaskan rindunya terhadap alam sekitar yang mendamaikan.

Ternyata, kedatangannya ke taman rekreasi itu amat berbaloi.

Ini kerana di samping itu, dia berpeluang untuk melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama dengan rakan-rakan yang lain.