Menghirup udara nyaman kota Bandung

CIWIDEY terkenal dengan pemandangan ladang teh menghijau.


PERCUTIAN kali ini membawa saya dan keluarga mengunjungi Bandung iaitu sebuah bandar besar di Jawa Barat, Indonesia.

Bandar ketiga terbesar di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya ini dikenali sebagai Paris Van Java oleh penjajah Belanda seketika dahulu.

Ini kerana, kota itu mempunyai yang sejuk dan nyaman seperti di kota Paris dan negara-negara Eropah.

Terletak di altitud 768 meter dari aras laut dan dikelilingi gunung-ganang, udara di sini lebih sejuk serta nyaman berbanding kawasan lain.

Oleh itu, tidak hairanlah Bandung terkenal dengan nama Kota Kembang kerana banyak taman-taman bunga yang diwujudkan di sini.

Bandung bukanlah lokasi pelancongan asing dalam kalangan warga Indonesia, malah berduyun-duyun pelancong luar datang ke sini untuk menikmati keindahan alam, keenakan makanan serta aktiviti membeli-belah.

Mengimbas perjalanan dari awal, pesawat yang membawa kami ke Indonesia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di Jakarta. Kami seterusnya dibawa oleh ejen pelancongan menggunakan bas mini ke bandar Bandung yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari ibu negara Indonesia itu.

Kesesakan lalu lintas menyebabkan perjalanan kami ke Bandung terlewat beberapa jam.

Antara tempat menarik yang boleh dilawati di Bandung ialah Kawah Putih.

Kawah Putih terletak kira-kira 50 kilometer (km) dari bandar Bandung dan terletak di daerah Ciwidey, Bandung Selatan.

Ia merupakan kawah Gunung Patuha yang terhasil akibat letusan gunung berapi pada sekitar abad ke-10 dan 12.

Kini, kawasan kawah gunung berapi itu dipenuhi dengan air dan membentuk tasik kecil yang berwarna putih hingga digelar Kawah Putih oleh warga tempatan.

Bau belerang atau sulfur yang agak kuat di sekitar kawasan ini menyebabkan para pelawat digalakkan memakai topeng pernafasan bagi mengelak gangguan pernafasan.

Terdapat juga beberapa peniaga yang menjual belerang bagi kegunaan perubatan tradisional di sepanjang laluan menuju ke Kawah Putih.

Saat kami berada di Kawah Putih, kawasan tumpuan pelawat ini penuh dengan pengunjung tempatan dan luar negara.

Selain itu, daerah Ciwidey juga kaya dengan tempat-tempat pelancongan alam semula jadi yang lain seperti air terjun dan kolam air panas.

Kopi luwak


PENULIS (dua dari kiri) bergambar bersama ahli keluarga yang mengikuti percutian ke Bandung baru-baru ini.


Disebabkan kedudukannya di kawasan tanah tinggi, banyak aktiviti pertanian yang diusahakan oleh masyarakat kampung seperti penanaman sayur-sayuran serta buah-buahan misalnya strawberi dan bluberi.

Kawasan Ciwidey juga terkenal dengan ladang-ladang teh. Menurut pemandu pelancong kami, kawasan penanaman teh di sini merupakan antara yang terbesar di Indonesia.

Kebun-kebun teh yang luas itu menghamparkan pemandangan hijau yang indah. Cuaca sederhana sejuk pula begitu mendamaikan.

Terdapat sebuah tasik yang terkenal di daerah Ciwidey iaitu Tasik Patenggang. Tasik ini dikelilingi kawasan hutan serta ladang-ladang teh.

Antara tarikan pelancongan di Tasik Patenggang ialah sebuah restoran yang dibina di tepi tasik yang berbentuk seperti sebuah kapal layar.

Kami berkesempatan naik ke atas kapal untuk makan dan minum sambil menikmati pemandangan tasik serta kawasan tanaman teh.

Hujan renyai-renyai menyambut ketibaan kami di atas kapal ini.

Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di situ termasuk perkhemahan, kem dan kursus. Pelancong juga boleh melakukan aktiviti air seperti kayak di situ.

Hari seterusnya, kami berkunjung pula ke Pusat Pembiakan Luwak dan Kilang Penghasilan Kopi Luwak Cikole.

Di pusat ini, kami mendengar taklimat yang diberikan oleh staf bertugas mengenai penghasilan kopi luwak yang merupakan antara kopi termahal di dunia.

Selain itu, beliau juga ada berkongsi manfaat mengenai kopi luwak. Kopi luwak Cikole telah mendapat sijil pengiktirafan halal oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI).

Pusat ini telah dijadikan pusat pembiakan luwak (musang) untuk tujuan penghasilan kopi, penyelidikan dan pendidikan.

Kami juga berpeluang bergambar bersama seekor musang yang agak jinak. Beberapa orang dari kumpulan kami berpeluang menikmati kopi luwak. Ternyata mereka berpuas hati dengan rasanya yang sedap.

Selain itu, Bandung juga terkenal dengan Pasar Terapung Lembang yang menggabungkan elemen keindahan taman berserta pasar terapung.

Terdapat petak sawah padi, kebun buah-buahan, tanaman sayur-sayuran organik serta pokok strawberi di taman ini.

Di situ juga terdapat sangkar-sangkar haiwan seperti angsa dan burung.

Keindahan taman di sekitar pasar terapung itu membolehkan kami menikmati pemandangan dan merakam gambar.

Perahu

Bandung terkenal dengan Pasar Terapung Lembang.


Tarikan utama di situ sudah pastilah jualan makanan yang boleh dibeli daripada peniaga yang berada di atas perahu di tepi tasik.

Pelbagai sajian tempatan boleh didapati di sini seperti seblak, tauhu Lembang, martabak mini, buren bakar, ikan bakar, ikan goreng, sate dan soto.

Semua menu di situ nampaknya amat menyelerakan dan dijual dengan harga berpatutan.

Selain itu, kami juga melawat Farm House yang terletak di tepi jalan menuju ke Lembang.

Antara tarikan utama di situ ialah model rumah hobbit. Para pengunjung juga boleh menyewa pakaian ala Belanda dan mengambil gambar di sekitar Farm House.

Kami juga tidak melepaskan kesempatan merakam gambar di kawasan Farm House yang mempunyai kedai, zoo mini dan dihiasi bunga-bungaan berwarna-warni.

Para pengunjung juga diberikan tiket yang boleh ditukarkan kepada susu segar asli atau berperisa ketika berada di dalam Farm House.

Tidak lengkap rasanya jika berkunjung ke Bandung tanpa membeli-belah di sana. Bandung terkenal sebagai syurga membeli- belah kepada warga Malaysia terutamanya bagi kaum wanita.

Kami menuju ke Pusat Perniagaan Pasar Baru. Ia merupakan lokasi perniagaan yang terkenal di bandar Bandung.

Pelbagai produk seperti telekung, kain pasang, kain pelekat, seluar jean, beg tangan dan banyak lagi boleh didapati di situ dengan harga berpatutan.

Pelancong-pelancong digalakkan tawar-menawar untuk mendapatkan harga yang terbaik.

Lokasi Pasar Baru yang begitu strategik di tengah bandar Bandung menyebabkan jalan di kawasan itu sesak dengan kenderaan yang mengambil atau menurunkan penumpang.

Pasar lapan tingkat itu juga mempunyai deretan kedai makan yang menawarkan makanan cita rasa tempatan iaitu Jawa Barat.

Pada hari terakhir, kami pulang ke Jakarta setelah menikmati sarapan pagi.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta pada pukul 6 petang untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Percutian kali ini amat bermakna kerana disertai ramai ahli keluarga serta merupakan pengalaman pertama ke Indonesia bagi sesetengah kami.