Polis Selangor tahan 28 orang, rampas dadah bernilai RM570,000

17/08/2017 3:28pm


Polis berjaya merampas sebanyak ganja seberat 134kg, syabu seberat 1,037gram, heroin dan serbuk ectasy masing-masing seberat 595 dan 688gram.


SHAH ALAM - Polis Selangor telah berjaya menahan seramai 28 orang termasuk empat wanita disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah dalam beberapa serbuan di sekitar Petaling Jaya dan Kajang antara 1 hingga 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, kesemua suspek termasuk seorang wanita warga asing yang ditahan berusia dalam lingkungan umur 18 hingga 63 tahun.

Beliau berkata, lima daripada yang ditahan bekerja sebagai buruh dan di syarikat swasta, berniaga sendiri sementara selebihnya merupakan penganggur.

"Melalui tangkapan ini kita berjaya merampas sebanyak ganja seberat 134 kilogram (kg), syabu seberat 1,037gram, heroin dan serbuk ectasy masing-masing seberat 595 dan 688gram.

"Keseluruhan rampasan dadah bernilai RM570,000 dan ia dipercayai untuk pasaran tempatan,"katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - K! ONLINE