Misi kayuhan Projek57 sebar mesej perpaduan bermula


PESERTA kayuhan dilepaskan oleh Syed Hamid (dua kanan) dan Tian Xiong (kanan) di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada 6 Ogos lalu.


SUASANA di tengah bandar raya Kuala Lumpur pada pagi itu begitu tenteram tanpa deruan kenderaan bermotor yang bersimpang-siur dari pelbagai arah menuju ke destinasi masing-masing.

Pemandangan itu sebaliknya digantikan dengan ribuan warga kota melakukan aktiviti riadah seperti berbasikal, berjalan kaki, berjoging, bermain papan selaju dan kasut roda bersama ahli keluarga dan rakan-rakan yang berkongsi minat serupa.

Itu sebenarnya pemandangan lazim yang dapat disaksikan pada hari Ahad minggu pertama dan ketiga setiap bulan di ibu kota sempena program Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan.

Menambah kemeriahan itu, baru-baru ini puluhan belia berhimpun di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seawal pukul 7 pagi untuk memulakan misi kayuhan basikal di bawah panji program Kayuhan Perpaduan Projek57.

Projek57 merupakan perusahaan sosial cetusan idea dua sahabat yang juga rakan perniagaan, Syed Sadiq Albar Syed Hamid dan Collin Swee dengan mendukung hasrat menjadikan Malaysia negara yang harmoni tanpa sengketa perkauman.

Kata-kata Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman yang menyebut masa depan rakyat negara ini bergantung kepada kebersamaan masyarakat pelbagai kaum menjadi azimat yang dipegang Projek57.

Inspirasi


KELIBAT orang ramai berbasikal dan berjoging turut kelihatan berhampiran lokasi pelepasan misi kayuhan Projek57 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Misi kayuhan bermula dari Dataran Merdeka dan kumpulan ini akan menjelajah secara berperingkat-peringkat ke seluruh negara sehingga 16 September depan.

Pada hari pertama kayuhan iaitu pada 6 Ogos lalu, mereka berkayuh sejauh 57 kilometer ke Putrajaya.

Pelepasan kayuhan disempurnakan oleh bekas pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan Pengarah Eksekutif Eco World, Liew Tian Xiong di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad.

Syed Sadiq Albar meluahkan rasa terharu dengan sambutan orang ramai yang datang dari pelbagai kaum, peringkat usia dan latar belakang untuk bangkit bersatu dengan memfokuskan sisi positif dan indah negara ini.


KIOS Projek57 di Dataran DBKL mempamerkan barangan bertemakan kemerdekaan dan perpaduan.


"Ini menggambarkan erti sebenar menjadi rakyat Malaysia. Justeru, marilah kita meraikannya dengan menyerlahkan kepelbagaian yang cukup indah ini buat tanah air tercinta, katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Sementara itu, Collin berharap program itu dapat memberi inspirasi kepada segenap lapisan masyarakat untuk bersama-sama maju ke hadapan.

Menurutnya, peserta akan merentasi desa dan pekan-pekan kecil di lokasi terpilih bagi melibatkan anak muda terutamanya pelajar sekolah dan universiti untuk turut serta dalam aktiviti berbentuk perpaduan.

Pada setiap hentian mereka akan berkongsi kisah mengenai harapan, perpaduan, ikatan dan hubungan persaudaraan yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagi seorang peserta, Fahredza Muhammad, 29, aktiviti kayuhan jarak jauh bukanlah perkara yang asing bagi dirinya. Namun, mesej perpaduan yang dibawakan Projek57 membuatkannya berasa teruja.


AHLI keluarga dan rakan-rakan peserta turut hadir memberi sokongan kepada para peserta dengan mengibarkan bendera Malaysia.


"Saya biasa berkayuh dari rumah di Seri Hartamas ke tempat kerja di Shah Alam, Selangor dengan anggaran jarak kayuhan mingguan mencecah 300 kilometer pergi dan balik.

"Tetapi saya rasa program kali ini begitu istimewa, apatah lagi ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-60 akan menjelang tidak lama lagi, tutur jurutera itu.

Seorang lagi peserta, Firman Muhamad, 41, optimis semua peserta telah melakukan persiapan fizikal dan mental untuk menjayakan misi kayuhan tersebut.

Dia sendiri melakukan kayuhan yang mengambil masa sehari dari Kuala Lumpur ke Lumut, Perak baru-baru ini untuk menguji prestasi dirinya.

"Saya memang aktif menyertai program kayuhan beramai-ramai sebegini. Ia membuatkan saya berasa lebih bersemangat dan bermotivasi untuk berbasikal, ujarnya.