Waspada ketika bertutur


MEMELIHARA lidah adalah antara jalan keselamatan dalam konteks kehidupan individu, keluarga dan masyarakat. – Gambar hiasan


BERWASPADA dalam mengeluarkan kata-kata dapat mencegah kita daripada terjerumus kepada perbuatan sia-sia.

Ia juga merupakan tanda atau alamat kesempurnaan iman dan kecantikan agama seseorang.

Sebuah hadis riwayat Tabarani menyebut: "Seseorang hamba tidak akan mencapai hakikat iman sehingga dia memelihara lidahnya.”

Memelihara lidah adalah antara jalan keselamatan dalam konteks kehidupan individu, keluarga dan masyarakat.

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, apakah cara untuk mendapatkan keselamatan?”

Baginda menjawab: "Peliharalah lidah kamu, tinggallah di dalam rumah kamu (jangan berpelesiran tanpa tujuan) dan tangisilah akan kesalahan-kesalahan kamu.” (Riwayat Tirmizi).

Maksud memelihara lidah ialah tidak menyalahgunakan lidah seperti mengumpat, menghasut, bercakap sia-sia, bercakap apa sahaja tanpa berhati-hati, bercakap perkara yang lucah dan bergaduh.

Selain itu, memelihara lidah juga bermaksud tidak mencarut, melaknat manusia atau binatang, memecahkan rahsia, berjanji dengan dusta, bersumpah palsu, memuji seseorang tanpa sebab dan bertanya perkara yang tidak perlu.

Kata-kata boleh terzahir dalam bentuk ucapan lisan, tulisan atau bahasa badan. Sedarkah kita, beberapa patah perkataan yang kita ungkapkan boleh menjadi asbab kesejahteraan atau kesengsaraan kepada orang lain? Maka, beruntunglah apabila kata-kata yang diungkapkan itu menjadi sebab untuk orang lain berubah memperbaiki diri mereka.

Sebaliknya, kerugian dan penyesalan akan terjadi apabila kata-kata yang diungkapkan itu menjadi asbab untuk orang lain lebih mendekati kesesatan.

Namun, apa yang dituntut adalah kebenaran dan keikhlasan dalam kata-kata.

Jika kebenaran yang diungkapkan, maka kesesatan orang lain tidak menjadi kerugian atau penyesalan kepada sang penutur.

Ini banyak diceritakan dalam kisah orang fasik yang semakin menjauhi kebenaran ketika baginda Rasulullah SAW menyampaikan agama disebabkan tertutupnya mata hati mereka.

Makna mengumpat

Kebenaran dalam kata-kata perlu disampaikan dengan hikmah, lemah lembut dan kebijaksanaan.

Namun, tidak boleh sama sekali menggadaikan prinsip agama yang suci atas alasan toleransi.

Ulama Hadis, Muhammad Zakariyya Kandhalawi dalam kitabnya Fadhail Amal pada Bab Memuliakan Orang Islam menyebut, apabila seorang pendakwah telah terkasar bahasa ketika menasihati Khalifah Ma’mun ar-Rashid, beliau telah berkata:

"Berlemah-lembutlah terhadap saya kerana apabila Allah SWT menghantar orang yang lebih baik daripada kamu iaitu Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s kepada orang yang lebih buruk daripada saya iaitu Firaun, maka Allah telah berfirman: "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut supaya dia sedar atau berasa takut.” (Surah Taha ayat 44).

Bagaimanapun, jika kebenaran tidak dapat disampaikan, maka berdiam diri terhadap kemungkaran yang berlaku adalah sekadar yang diharuskan dengan syarat hati tidak bersetuju dengan apa yang berlaku.

Ramai antara kita sering terperangkap dalam perlakuan mengumpat ketika mengungkapkan kata-kata walaupun terdapat kebenaran dalam bicara itu.

Rasulullah telah ditanya oleh seseorang: "Apakah itu mengumpat?”

Baginda bersabda: "Bercakap tentang sesuatu yang tidak disukai oleh seseorang di belakangnya.”

Penyoal tadi bertanya lagi: "Bagaimana jika perkara yang diperkatakan itu sememangnya ada padanya?”

Baginda menjawab: "Itulah mengumpat. Jika sememangnya tidak ada, maka itu adalah fitnah.” (Riwayat Muslim).

Dalam sepotong hadis riwayat Tirmizi pula ada menyebut: "Sesungguhnya seseorang kamu telah berkata-kata dengan sesuatu perkataan yang dimurkai oleh Allah sedangkan dia tidak menduga keburukannya sedemikian rupa, lalu disebabkan perkataan itu, kemurkaan Allah ke atas orang itu berpanjangan sehingga hari kiamat.”

Ya Allah, peliharalah kami daripada kelalaian ini.