Pendapatan 300 nelayan merosot, LKIM Kuala Besar dilitupi lumpur tebal

18/08/2017 11:57am


Seorang nelayan, Azid Ibrahim,56, termenung memikirkan masa depannya selepas kompleks LKIM Kuala Besar 'lumpuh' gara-gara dilitupi lumpur tebal sejak tiga tahun lalu.


KOTA BHARU - Seramai 300 nelayan di jajahan ini mendesak pihak berkenaan supaya mendalamkan kawasan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar di sini yang sudah menjadi cetek akibat dilitupi lumpur tebal.

Masalah yang sudah berlarutan hampir tiga tahun itu menyebabkan Kompleks LKIM Kuala Besar itu sudah tidak lagi berfungsi sebagai pusat pendaratan ikan untuk nelayan kawasan sekitar.

Situasi itu menjadikan punca pendapatan 1,000 nelayan laut dalam dan persisiran pantai merosot sehingga ada yang terpaksa mengikat perut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kota Bharu, Che Mohd. Asa'ari Abdullah berkata, pihaknya sudah buntu memikirkan masalah tersebut selepas beberapa aduan yang dibuat seolah-olah dipandang sepi oleh pihak berkenaan.

"Saya berharap pihak berkenaan turun ke bawah untuk melihat sendiri keperitan dialami oleh nelayan-nelayan di kawasan ini yang bergantung harap kepada Kompleks LKIM Kuala Besar untuk mendaratkan hasil tangkapan.

"Saya sekali lagi memohon pihak berkenaan supaya segera mendalamkan kawasan Kompleks LKIM Kuala Besar yang kelihatan sudah berada di atas darat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, usaha itu bagi membolehkan kompleks kembali berfungsi seperti biasa untuk kemudahan nelayan.

"Jika kompleks ini beroperasi kembali secara tidak langsung kegiatan ekonomi yang sebelum itu malap akan aktif semula," katanya. -K! ONLINE