Perdana Menteri lancar Digital Langkawi

19/08/2017 12:03pm


Perdana Menteri (dua dari kanan) meletakkan replika kad 'MyDebit' sebagai gimik perasmian Karnival Digital Langkawi 2017 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, hari ini.


LANGKAWI - Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak melancarkan Digital Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini pagi ini.

Digital Langkawi itu dianjurkan selepas pulau pelancongan terpilih menjadi tapak perintis untuk pembangunan konsep bandar pintar bagi keseluruhan negeri Kedah

Pembangunan konsep bandar pintar itu membabitkan kepelbagaian penggunaan teknologi digital serta dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan bersepadu yang canggih.

Digital Langkawi diklusterkan kepada lima kluster iaitu; Smart Economy, Smart Tourism, Smart Community dan Smart environment & Smart Security.

Kira-kira 100 syarikat berteraskan sistem teknologi maklumat dan digital termasuk agensi kerajaan negeri dan pusat menyertai karnival tersebut yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains Inovasi dan Teknologi Maklumat Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia, Datuk Norsabrina Mohd Noor, dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad

dan Ketua Pegawai Eksekutif, STT Technologies Sdn. Bhd., Suhaimi Ahmad.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut melancarkan inisiatif terbaharu yang diperkenalkan di Langkawi, ‘Cashless @ School’.

Ia merupakan projek rintis oleh Payment Networks (PayNet) iaitu satu sistem pembayaran tanpa wang tunai di lapan buah sekolah di pulau ini.

Sementara itu, Norsabrina dalam ucapannya pada majlis itu berkata, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan bandar pintar di Langkawi.

"Peruntukan itu membabitkan penaiktarafan dua kabel dasar laut dan pembinaan 10 menara telekomunikasi baharu dan perhubungan 47 menara telekomunikasi melalui kabel gentian fiber sepanjang 152 kilometer di seluruh Langkawi.

"Menerusi inisiatif ini, kelajuan dan liputan selain penyediaan liputan rangkaian 4G LTE ditingkatkan," katanya. - K! ONLINE