Malaysia Festival 2017 Sydney promosi Terengganu di benua Australasia

19/08/2017 1:34pm


Malaysia Festival 2017 Sydney berjaya mempromosikan keunikan dan potensi pelancongan Terengganu.


SYDNEY - Malaysia Festival 2017 Sydney yang berlangsung di sini berjaya mempromosikan keunikan dan potensi pelancongan Terengganu bukan sahaja kepada penduduk bandar raya itu malah sehingga seluruh Australia dan New Zealand.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, festival yang dianjurkan gabungan pelajar-pelajar Malaysia di bandar raya itu telah berjaya menarik ramai pengunjung ke acara tahunan tersebut.

"Pertunjukan budaya dan muzik-muzik tradisional yang dipersembahkan di festival ini berjaya menarik minat masyarakat tempatan sekali gus menjadi medium untuk memperkenalkan Malaysia khususnya negeri Terengganu.

"Antara yang mendapat sambutan hangat pengunjung yang terdiri daripada rakyat Australia dan New Zealand tersebut ialah persembahan tradisional Terengganu, Ulik Mayang," katanya selepas merasmikan Malaysia Festival 2017 Sydney di sini hari ini.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha (Pelancongan) Kerajaan negeri Terengganu, Wan Mohd. Firdaus Wan Sembok dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Festival 2017 Sydney, Ivan Khor.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Malaysia Festival 2017 Sydney, Hsiang Lin Tan berkata, acara tahunan yang diadakan pada kali ini bakal berlangsung selama dua hari berbanding cuma sehari sebelum ini.

"Tahun ini kita menyasarkan kehadiran 70,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran program ini berbanding 30,000 pada tahun lalu.

"Antara tarikan utama yang berjaya menarik pengunjung ialah gerai makanan tradisional dan buah-buahan Malaysia," katanya.

Tambah Hsiang lagi, Malaysia Festival 2017 Sydney kali ini melibatkan 16 penganjur dan beliau mengharapkan penyertaan lebih ramai lagi pada masa depan. - K! ONLINE