Pemancing terkandas 20 jam di perairan

20/08/2017 7:01pm


Bot pancing Ocean Kamara yang membawa 12 pemancing terkandas lebih 20 jam akibat kerosakan enjin.


KOTA KINABALU - Selepas hampir lebih 20 jam terapung di perairan pelantar minyak Saint Joseph di Kota Belud, 12 pemancing ditemui selamat pada pukul 5.30 petang hari ini.

Kesemua mangsa rakyat tempatan yang menaiki bot pancing Ocean Kamara telah terkandas di perairan tersebut selepas bot yang mereka naiki mengalami kerosakan enjin.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Mohd. Zubil Mat Som berkata, bot tersebut ditemui pada kedudukan 11.6 batu nautika barat daya pelantar minyak Saint Joseph di daerah Kota Belud.

"Pada Sabtu lalu, kami menerima maklumat sebuah bot pancing terapung di sekitar perairan pelantar minyak Saint Joseph selepas mengalami kerosakan enjin pada pukul 7.35 malam.

"Berdasarkan maklumat pengadu, bot tersebut berada pada kedudukan tiga batu nautika barat daya pelantar minyak Saint Joseph di sini," katanya hari ini. - K! ONLINE