Pelajari kemahiran ikhtiar hidup


AKTIVITI penjelajahan hutan memberi peluang kepada peserta beriadah sambil melihat keindahan alam semula jadi yang terdapat di sekitar Hutan Lipur Sungai Tua.


SEJAK dari tadi Muhammad Izzlan Shazuan Mohamad Fadzil, 16, tekun mengergaji pokok buluh yang tersusun rapi di hadapannya.

Sesekali dia berhenti melepaskan lelah. Sambil mengesat butiran peluh yang mengalir di dahi, dia sempat memerhatikan kelibat rakan-rakannya daripada Kumpulan 7 itu.

Seperti dirinya, mereka juga tekun melaksanakan tugas yang telah diagih-agihkan sebelum ini. Ada yang mencari kayu api, menyiang ayam, membasuh beras dan menyalakan api.

Dari riak wajah, masing-masing kelihatan teruja menyertai cabaran ikhtiar hidup pada program Ekspedisi dan Eksplorasi 2017 yang berlangsung di Riverstone Eco Resort, Ulu Yam, Batu Caves, Selangor itu.

Menariknya, menerusi cabaran tersebut setiap kumpulan perlu menyediakan hidangan masing-masing tanpa sebarang peralatan memasak seperti lazimnya sebaliknya hanya menggunakan buluh.

“Selain bahan-bahan mentah dan buluh, kami hanya dibekalkan gergaji, parang, tali dan mancis sepanjang cabaran ini.

“Justeru, setiap kumpulan perlu kreatif untuk menyediakan hidangan tersebut menggunakan sumber-sumber yang ada di sekeliling mereka.

“Misalnya, kayu api diperoleh daripada dahan dan ranting mati di sekitar kawasan hutan manakala sumber air pula dari sungai berhampiran,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, pengalaman sebagai ahli pengakap sebelum ini sedikit sebanyak membantunya mengharungi cabaran berkenaan.

“Cuma ini kali pertama saya didedahkan teknik memasak menggunakan buluh dan tidak sangka rasa makanan yang dimasak lebih enak berbanding periuk biasa,” ujarnya yang berasal dari Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Penilaian


SEMANGAT kerjasama dalam kalangan ahli kumpulan membantu melancarkan tugas yang diberikan.


Jelasnya, cabaran yang dilalui juga memberi pengalaman kepada peserta sekiranya berhadapan situasi kecemasan seperti tersesat di dalam hutan pada masa hadapan.

Dianjurkan oleh Kolej Yayasan Saad (KYS), program selama tiga hari dua malam itu disertai seramai 109 pelajar dan 11 guru.

Perunding Cara Pelajar KYS, Azmi Muhammad berkata, program itu merupakan sebahagian daripada penilaian program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) yang dilaksanakan di kolej berkenaan.

Katanya, ARPRM yang diadaptasi daripada program The Duke of Edinburgh’s Award atau kini dikenali sebagai The International Award for Young People mula diperkenalkan di Britain sejak tahun 1950-an.

“Program ARPRM adalah fleksibel dan bukan bersifat pertandingan sebaliknya menekankan kepada pencapaian serta kemampuan individu.

“Terdapat empat elemen utama yang ditekankan dalam program ini iaitu khidmat masyarakat, rekreasi fizikal, penjelajahan lasak serta kemahiran.

“Peserta akan dinilai mengikut tahap-tahap tertentu sama ada gangsa, perak dan emas dan berpeluang menerima anugerah berkenaan daripada Kementerian Belia dan Sukan sekiranya melepasi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

Tambah Azmi, program Ekspedisi dan Eksplorasi 2017 itu juga memberi peluang kepada pelajar untuk menyertai aktiviti perkhemahan, penjelahan hutan, berjalan malam (night walk) di samping ceramah dan motivasi.

Katanya, objektif program ini bukan untuk penilaian ARPRM semata-mata sebaliknya kita mahu mendedahkan pelajar dengan ilmu dan kemahiran di luar bilik darjah.

“Misalnya, dalam program ini pelajar tidak sekadar didedahkan kemahiran ikhtiar hidup sahaja sebaliknya turut mempelajari teknik memasang khemah yang betul dan pantas.

“Menerusi aktiviti penjelajahan hutan pula, mereka berpeluang melihat dan mempelajari kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di sekitar Hutan Lipur Sungai Tua,” ujarnya.

Katanya, pelbagai aktiviti yang dilaksanakan juga mampu memupuk hubungan mesra di antara pelajar dan guru di samping menjadikan mereka lebih berdisiplin.

Sementara itu, seorang peserta, R. Kuhan, 16, berkata, pelbagai aktiviti lasak dan mencabar yang diadakan sepanjang program itu menguji kemahiran mental dan fizikal peserta.

“Bayangkan untuk tiba di lokasi ini sahaja kami perlu merentas hutan hampir dua jam dari tapak kem.

“Permukaan muka bumi yang pelbagai sememangnya memenatkan namun berbaloi kerana kami berpeluang melihat keindahan flora dan fauna yang terdapat di sini,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Pengalaman


KECERIAaN jelas terpancar di wajah peserta selepas menamatkan cabaran dan berpeluang merasai keenakan hidangan masing-masing.


Bercerita mengenai program itu, dia berkata, cabaran ikhtiar hidup merupakan aktiviti yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap pelajar termasuk dirinya.

Ini kerana mereka berpeluang mempelajari ilmu itu daripada tenaga pakar dari Riverstone Eco Resort diketuai oleh Mohd. Fidzhar Asararuddin.

“Pengalaman memasak menggunakan buluh juga sangat mengujakan kerana selama ini saya sangkakan ia hanya sesuai untuk membuat lemang.

“Rupa-rupanya, ia boleh dijadikan sebagai bekas dan periuk memasak atau peralatan dapur asas seperti pinggan, gelas, senduk dan sudu,” ujarnya.

Tambah Kuhan, kemahiran ikhtiar hidup adalah perkara paling asas yang perlu dipelajari oleh semua dan bukan hanya pengamal aktiviti luar.

Bahkan katanya, tidak keterlaluan jika sebahagian daripada ilmu itu dijadikan kandungan pembelajaran di sekolah.

“Sekurang-kurangnya, kemahiran seperti ini dapat melengkapkan diri seseorang dengan ilmu asas semasa kecemasan.

“Ia juga dapat memupuk generasi muda supaya lebih mendekati alam semula jadi,” katanya.

Rakannya, Kong Mei Lin, 16, pula memberitahu, program tersebut sedikit sebanyak meningkatkan disiplin diri di samping semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.

Arahan

“Biarpun berada di sekolah yang sama namun masih ada peserta kami tidak kenali kerana ditempatkan di kelas berbeza.

“Sepanjang program ini kami sentiasa bersama-sama dalam melakukan apa juga aktiviti dan tugasan sekali gus mampu merapatkan hubungan,” katanya.

Remaja yang berasal dari Klang, Selangor itu berkata, selain cabaran ikhtiar hidup dia juga teruja dengan aktiviti berjalan malam.

“Bayangkan dalam keadaan gelap-gelita kami dibawa menyusuri kawasan hutan dengan hanya berpandukan kepada arahan yang diberikan.

“Ia sangat mengujakan kerana sepanjang perjalanan peserta akan tertanya-tanya ke mana destinasi mereka yang seterusnya.

“Apa yang pasti, setiap aktiviti ini mempunyai objektifnya yang tersendiri yang boleh dijadikan panduan dan pedoman di dalam kehidupan,” jelasnya.