Tiga rumah musnah terbakar

21/08/2017 9:53pm


Keadaan rumah yang terbakar dalam kejadian di Kampung Gemencheh Lama, petang tadi.


TAMPIN - Tiga buah rumah separuh kekal musnah dalam satu kebakaran di Kampung Gemencheh Lama dekat sini, petang tadi.

Bagaimanapun, kebakaran kira-kira pukul 4.40 petang itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan kerana semasa kejadian semua penghuni sempat menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Syed Ammar Syed Abas berkata, seramai 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian bersama dua jentera sebaik menerima panggilan pukul 4.43 petang.

"Kebakaran melibatkan tiga buah rumah. Dua rumah tersebut berpenghuni manakala sebuah lagi kosong. Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan sembilan unit kedai berhampiran.

"Api yang marak berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya 20 minit kemudian.," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan. - K! ONLINE