Getaran simbolik karya Mad Anuar

MAD ANUAR mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan arca Perentas Ribut No. 18.


NAMA Mad Anuar Ismail, 65, dalam bidang seni bina arca di negara ini tidak perlu diperkenalkan lagi.

Kehalusan dan nilai estetika setiap karyanya sering mengundang perhatian peminat seni tempatan serta antarabangsa.

Kini, selepas 40 tahun mengabdikan diri dalam industri seni, pengukir veteran itu tampil dengan pameran solo pertama di White Box, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada 3 hingga 13 Ogos lalu.

Lelaki yang berasal dari Dungun, Terengganu itu mengangkat tema getaran di dalam pamerannya sebagai simbolik terhadap interaksi manusia dan alam.

“Ia merupakan manifestasi saya terhadap kehidupan. Tidak kira apa bidang yang diceburi setiap manusia mempunyai kata-kata dan getaran yang sama,” katanya penuh berfalsafah ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Mad Anuar, dia terpanggil untuk mengadakan pameran solo itu bagi memenuhi permintaan rakan-rakan penggiat seni selepas terlibat dalam industri itu kira-kira 40 tahun lalu.

“Sebelum ini, mereka sering bertanya dan memujuk saya, bila lagi Mad...bila lagi... dan akhirnya ia dijelmakan pada pameran ini.

“Saya anggap ia satu fasa baharu terhadap perkembangan karier sebagai penggiat seni.

“Sudah menjadi kelaziman, paling tidak sekali seseorang penggiat seni perlu mengadakan pameran solo sebelum melangkah ke peringkat pameran retrospektif, yang menghimpunkan seluruh karya yang pernah dihasilkan,” ujar graduan Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara itu.

Karya terbaharu

Tambah Mad Anuar, dia mengetengahkan sebanyak 15 karya pada pameran itu yang terdiri daripada arca dinding dan arca berdiri.

Katanya, sebahagian besar bahan pameran merupakan karya terbaharu yang dihasilkan sejak dua tahun lalu.

“Cuma arca Perentas Ribut No. 18 merupakan karya lama saya yang dihasilkan pada tahun 2012,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai karya itu, Mad Anuar berkata, karya yang dihasilkan daripada besi keluli itu memaparkan dua individu yang sedang belayar merentas ribut di lautan.

“Mesej yang ingin saya sampaikan ialah setiap manusia tidak boleh lari daripada rintangan dalam kehidupan.

“Justeru, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali terus mengharunginya berbekalkan semangat, kegigihan dan kecekalan yang tinggi,” jelasnya.

Menurut Mad Anuar, arca berdiri lain yang turut menjadi tarikan pada pameran itu ialah Meditasi #4 sebagai penghormatan kepada ibu yang dihasilkan daripada kayu dan besi keluli.

Selain itu, terdapat juga arca dinding siri wayang yang memaparkan lima watak utama wayang kulit iaitu Rama, Sita, Laksamana, Hanuman dan Rawana.

“Setiap watak ini menggambarkan lima sifat yang terdapat dalam diri manusia.

“Misalnya, Rama digambarkan sebagai kehalusan, Sita (kepertiwian), Laksamana (kehebatan), Hanuman (kepintaran) dan Rawana (nafsu).

“Selain itu, terdapat juga beberapa karya lain seperti Belangkas #4, Kelibat, Laksamana dan Teja, Penari, Pahlawan #5, Pahlawan #6 yang turut mempunyai mesej serta falsafah yang tersendiri,” katanya.