Nostalgia 20 tahun konsol Digimon

Haiwan raksasa maya ini boleh bertarung dengan pemilik konsol lain.


Masih segar dalam ingatan, Ong Ding Jing, 21, kenangan manis saat memicit butang halus pada konsol permainan pelihara raksasa mayanya, Digital Monster atau Digimon kira-kira 15 tahun lalu.

Ini kerana membela raksasa maya itu memberikan keterujaan seumpama memelihara haiwan peliharaan yang hidup.

Daripada sebiji telur, Ding Jing tekun menjaga haiwan tersebut bagai menatang minyak penuh sehingga ia menginjak usia matang dengan diberikan makan dan latihan secara berkala.

Klimaks memelihara Digimon itu ialah apabila usia haiwan itu meningkat dewasa, ia boleh bertarung bersama pemilik daripada konsol yang lain.

Biarpun pada awalnya dia hanya mampu memiliki produk tiruan yang dibeli pada harga jauh lebih murah berbanding produk asli keluaran Bandai Namco Holdings (Bandai), anak muda dari Kapar, Klang, Selangor itu tetap berpuas hati.

Sungguhpun demikian, dia tekad untuk memiliki konsol Digimon yang asli kerana mahu merasai sendiri pengalaman memelihara raksasa maya secara menyeluruh tanpa sedikit rasa kekurangan dari segi kualiti permainan.

Berlatarbelakangkan keluarga sederhana, Ding Jing atau mesra disapa DJ Ong ketika itu sanggup mengikat perut setiap hari ke sekolah demi mendapatkan konsol idamannya yang juga dikenali sebagai Digivice.

“Sewaktu kecil dahulu, selain membelinya di kedai saya menyertai peraduan seperti melengkapkan koleksi pelekat gambar haiwan Digimon di dalam buku pelekat sebelum dihantar ke kedai runcit untuk menebus konsol Digimon.

“Dengan cara itu, saya berjaya mendapatkan Digimon yang asli pada harga lebih murah berbanding di pasaran,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, dia turut memiliki rakan yang berkongsi minat sama dan mereka sering bertukar-tukar pelekat supaya dapat mengumpul kesemua pelekat itu dengan lebih mudah.

Kongsi DJ Ong, Digimon dahulu boleh diperoleh sekitar RM20 hingga RM50 namun kini rata-rata harga konsol itu bermula RM200.

Tidak mudah

Kini, setelah dia mengusahakan perniagaan memborong peralatan sembahyang keluarganya, DJ Ong mampu memiliki pelbagai jenis Digivice termasuk edisi terhad dan khas.

Walaupun begitu, usaha DJ Ong mengumpul Digivice tidak semudah dahulu kerana ia tidak dipasarkan lagi sama ada dalam mahupun luar negara.

Walaupun dikekang dengan masalah itu, dia berusaha mencari produk berkenaan menerusi forum di internet. Akhirnya dia berjaya mendapatkan Digivice versi D2 sekitar penghujung tahun 2015.

“Sejak mula mengumpul balik Digivice, saya membelanjakan lebih RM50,000 termasuk membeli edisi terhad dan khas.

“Kini, saya memiliki lebih 50 unit Digivice yang diperoleh dari serata tempat termasuk Malaysia, Indonesia, Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.

“Disebabkan ia sukar untuk dikumpul, kebanyakan Digivice itu saya dapat menerusi bidaan daripada laman web luar termasuk yang diimport terus dari Jepun,” jelasnya.

Harga


Gelagat peminat setia Digimon ketika acara Pertarungan Digimon D3 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Sebiji konsol berharga sekitar RM200 namun bagi edisi terhad dan khas, ia mampu mencecah sehingga RM8,000.

Ia disifatkan sebagai mengembalikan semula nostalgia serta memori manis zaman kanak-kanak dahulu.

Digimon bukan suatu nama yang asing lagi dalam radius kanak-kanak sehingga berjaya mencetus fenomena sekitar tahun 1998 sebagai hobi popular.

Tidak cukup sekadar siri animasi, pengikut tegar dan setianya turut kemaruk memiliki Digivice dan berentap bersama rakan tidak ubah seperti di dalam animasi tersebut.

Disebabkan ia pernah terpahat dalam hati kanak-kanak zaman itu satu masa dahulu, tidak hairanlah kini penggemar Digimon rata-rata terdiri dalam kalangan mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Bahkan, mereka sanggup berbelanja sehingga ribuan ringgit demi membangkitkan kembali hobi popular berkenaan.

Menurut Pengasas Digimon Digi-Destined Malaysia, Muhammad Hafidz Selamat, 25, keterujaan itu semakin memuncak apabila awal tahun lalu, Bandai telah mengumumkan pelancaran semula Digivice sempena ulang tahun ke-20 iaitu Digimon Ver 20th.

“Ia mengekalkan konsep asli konsol berbentuk petak dengan tiga butang berserta dua kepingan logam untuk sambungan pertarungan bersama konsol lain.

“Di samping itu, ia dikeluarkan dalam dua warna keluaran pertama Digivice iaitu coklat dan kelabu.

“Jika dahulu hanya 14 ekor haiwan boleh dipelihara dalam satu-satu versi konsol, kini lebih 135 ekor haiwan boleh dibela menggabungkan lima versi Digivice termasuk haiwan eksklusif ulang tahun ke-20 iaitu Zubamon,” ujarnya.

Tambahnya, kini para penjinak raksasa maya itu boleh memelihara dua ekor haiwan secara serentak berbanding dahulu seekor sahaja.

Kedua-dua haiwan tersebut boleh digabungkan (Jogress) ketika bertarung menjadi seekor haiwan baharu yang lebih kuat.

Kongsi Muhammad Hafidz, versi awal konsol itu hanya mampu membesar hingga tahap Perfect, namun kini ditambah satu lagi peringkat iaitu Ultimate.

Bahkan, tempoh membesarkan haiwan itu juga dikurangkan kepada hanya 36 jam sebelum ia membesar ke tahap Perfect berbanding dahulu yang mengambil masa lebih enam hari.

“Digimon ver 20th ini merupakan koleksi yang wajib dimiliki oleh semua penggemar Digimon kerana ia bukan sahaja mengekalkan unsur sentimental versi asli malah lebih mesra pengguna untuk digunakan pada masa kini.

Pertarungan

“Bagi yang mahu memiliki Digimon ini, mereka perlu membuat tempahan awal melalui laman web rasmi Digimon Jepun dan dijangka sampai ke Malaysia sekitar bulan ini.

“Saya berharap permainan ini mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana ia mempunyai potensi sama dalam bidang e-sukan seperti permainan lain sekali gus meneruskan legasi permainan ini untuk generasi muda,” jelasnya teruja.

Sehingga kini, lebih 5,000 peminat Digimon yang berjaya dikumpul Muhammad Hafidz dalam grup Facebook Digimon Digi Destined Malaysia sejak mula ditubuhkan sekitar tahun 2013.

Rentetan itu, perjumpaan dan pertarungan Digimon antara ahli grup kerap diadakan sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Penganjur Pertarungan Digimon D3, Shawal Musawari, 24, menambah, Digimon merupakan medium yang berkesan dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum.

“Menerusi penganjuran pertarungan Digimon secara berkala, ia dapat menghimpunkan peminat serta penjual Digimon seluruh negara seperti Johor, Shah Alam, Ipoh, Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, mereka dapat bertukar-tukar pendapat dan tip penjagaan haiwan dengan lebih mudah daripada mereka yang pakar.

“Daripada keluar berpeleseran melakukan perkara yang tidak berfaedah, lebih baik hobi popular ini dimanfaatkan dengan cara ini dalam masa sama dapat melepaskan tekanan mereka” jelasnya.

Shawal berpendapat, ia merupakan satu-satunya cara untuk memelihara legasi hobi popular tersebut supaya ia tidak lekang dek zaman.