Bangunan sekolah bergegar


BANGUNAN Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah di Cheras Selatan yang disewa oleh Kementerian Pendidikan.


KAJANG kira-kira 300 murid dan guru Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah di Cheras Selatan dekat sini semalam berasa cemas apabila salah sebuah bangunan sekolah itu mengalami beberapa siri gegaran dalam tempoh setengah jam.

Gegaran pertama bermula kira-kira pukul 3 petang dan berlaku beberapa kali dalam tempoh tersebut. Setiap gegaran boleh dirasai sehingga beberapa saat dan ada yang mendakwa ia berlaku selang lima minit sekali.

Bangunan empat tingkat itu dikatakan menempatkan bilik guru dan perpustakaan serta beberapa bilik khas.

Bagaimanapun, kejadian tersebut tidak kuat dan tidak ada kerusi atau meja terbalik.

Seorang guru di sekolah tersebut berkata, gegaran tersebut pada mulanya dirasai oleh guru-guru yang berada di bangunan itu sebelum diikuti beberapa orang murid yang turut berasa hairan dengan kejadian itu.

"Ada antara kami berasa pening dan beberapa orang murid mengatakan mereka merasai gegaran.

"Kami kemudian menghubungi pasukan bomba dan penyelamat yang kemudian menasihatkan bangunan itu segera dikosongkan," katanya yang enggan dikenali.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor kemudian menghantar sembilan anggota penyelamat serta dua buah jentera dari Kajang dan Serdang untuk memeriksa aduan berhubung gegaran tersebut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.