KD Handalan temui satu mayat


KRU KD Handalan membungkus mayat yang ditemui dalam operasi SAR di perairan Teluk Ramunia, timur Johor semalam.


PUTRAJAYA Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) 10 kelasi USS John S. McCain yang dilaporkan hilang selepas kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) itu berlanggar dengan sebuah kapal tangki dekat Teluk Ramunia di timur Johor kelmarin berjaya menemui satu mayat semalam.

Mayat yang belum dikenalpasti identitinya itu ditemui oleh kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Handalan dalam kawasan sektor pencarian kira-kira pukul 3.45 petang, iaitu lapan batu nautika barat laut dari lokasi pelanggaran USS John S. McCain.

TLDM dalam satu kenyataan berkata, KD Handalan telah memindahkan mayat tersebut kepada kapal frigat KD Lekiu.

"Mayat tersebut tidak dapat dikenal pasti dan akan diserahkan kepada pihak tentera laut Amerika Syarikat pada esok (hari ini) di laut," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia (APMM) menghantar tiga kapal bagi membantu operasi SAR yang memasuki hari kedua di Teluk Ramunia, timur Johor semalam.

Operasi itu turut membabitkan empat kapal TLDM bagi membantu melancarkan operasi yang diaktifkan selepas kapal pemusnah itu berlanggar dengan sebuah kapal tangki.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Indera Zulkifli Abu Bakar berkata, antara aset APMM yang digunakan ialah kapal KM Mulia, bot Penggalang 39 dan Pesawat AW 139.

"Aset TLDM yang digunakan pula ialah KD Lekiu, KD Handalan, KD Gempita dan Pesawat Super Lynx. Pasukan Polis Marin (PDRM) turut menghantar tiga bot mereka iaitu bot RH 58, PA 9 dan RH 24.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.