Buang sampah dapat ganjaran



BERKHIDMAT sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, Selangor menyebabkan hidup lelaki berusia 47 tahun itu dikelilingi perkakas elektronik.

Saban hari, Prof. Dr. Fabian Kung Wai Lee menggunakan beratus-ratus bahan elektronik seperti papan litar tercetak, mikro cip dan bateri dalam kuliahnya.

Bahan-bahan tersebut digunakan oleh pelajarnya untuk kerja-kerja amali seperti yang terdapat dalam sukatan pelajaran.

Apabila berakhirnya semester, barangan elektronik yang disimpan dalam berpuluh-puluh kotak terpaksa dibuang bagi mengelak stor penyimpanan mengalami limpahan.

Justeru, Wai Lee membuang sisa elektronik tersebut ke dalam tong sampah besar yang terdapat di depan fakulti tersebut.

Setiap kali membuang sisa tersebut pasti terdetik rasa bersalah dalam diri lelaki berasal dari Petaling Jaya itu. Ini kerana sebagai seorang pencinta alam, dia beranggapan sisa tersebut seharusnya dikitar semula.

"Sisa elektronik tidak boleh dikitar semula. Ini kerana di Malaysia, hanya ada tiga jenis tong kitar semula iaitu plastik, kertas dan kaca.

"Jadi, pilihan yang saya ada adalah membuang sisa elektronik ini ke dalam tong sampah biasa. Ia sangat tidak mesra alam," katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.


TAPAK pelupusan sampah sudah tidak dapat menampung sisa pepejal yang dibuang masyarakat. Gambar hiasan


Rutin tersebut berlangsung selama hampir 17 tahun sebelum Wai Lee menemui jalan penyelesaian terhadap masalah pembuangan sisa elektronik tersebut.

Ia selepas salah seorang rakan pensyarah di MMU telah memperkenalkannya kepada sebuah platform kitar semula yang dikenali sebagai iCYCLE.

Menerusi sistem yang diperkenalkan oleh syarikat iCYCLE Malaysia Sdn. Bhd. itu masyarakat boleh mengitar semula hampir kesemua jenis sisa pepejal.

Inovasi kitar semula tersebut menggunakan sistem kod bar untuk merekod sampah kitar semula serta menyediakan pulangan kepada mereka yang menggunakannya.

"Inovasi ini memudahkan saya untuk mengitar semula sisa elektronik. Saya hanya perlu melekatkan kod bar sebelum membuang sisa barangan ke dalam tong khas yang disediakan.

"Ia bukan saja mudah, malah dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Pada masa sama, saya juga mendapat ganjaran daripada sisa buangan ini," katanya.

Konsep kitar semula iCYCLE mula diperkenalkan oleh komuniti di Pulau Pangkor, Perak pada tahun 2013. Menerusi konsep tersebut penduduk di situ dapat mengitar semula sampah sambil mendapat ganjaran.

Konsep iCYCLE telah berjaya membantu mengatasi masalah pembuangan sampah yang sering membelenggu pulau peranginan itu.

Potensi


BEBERAPA komuniti di Perak sudah mula mempraktikkan sistem kitar semula iCYCLE.


Ketua Pegawai Eksekutif iCYCLE, Dr. Tan Ching Seong berkata, konsep iCYCLE yang dipraktikkan oleh penduduk di Pulau Pangkor mempunyai potensi untuk diperluaskan ke tempat lain.

Begitupun, dia mendapati beberapa penambahbaikan perlu dilakukan dalam sistem pengurasan iCYCLE sebelum boleh diperluaskan ke tempat lain.

"Sebelum ini iCYCLE beroperasi secara manual. Ia menyukarkan pihak pengurusan merekod dan memberi ganjaran kepada komuniti di situ.

"Sebagai seorang pensyarah di MMU, saya terpanggil untuk membangunkan sebuah portal pada tahun 2015. Ia bagi memudahkan kerja-kerja merekod dan memberi ganjaran," katanya.

Dia memberitahu, setiap individu yang ingin menggunakan sistem iCYCLE perlu mendaftar keahlian dalam portal secara percuma.

Katanya, selepas mendaftar, pihaknya akan menghantar secara pos 30 keping pelekat khas yang mempunyai kod bar ke alamat rumah ahli.

"Pelekat ini perlu dilekatkan pada plastik sampah sebelum membuangnya ke dalam tong khas yang diletakkan di kawasan berhampiran mereka.

"Sampah akan dikutip setiap minggu oleh syarikat barangan lusuh yang dilantik. Sampah ini akan diasingkan sebelum diberikan mata berdasarkan berat dan jenis sisa," katanya sambil memaklumkan barangan yang ingin dikitar semula mesti bersih dan kering.


CHING SEONG (kiri) memberi penerangan tentang operasi syarikat iCYCLE kepada para pekerjanya.


Menurut Ching Seong, pihaknya mengelaskan bahan kitar semula berasaskan enam produk iaitu kertas, plastik, besi, bahagian komputer, elektrik dan elektronik dan lain-lain barang.

Tambahnya, setiap jenis bahan kitar semula akan diberi jumlah mata yang berbeza mengikut harga yang telah ditetapkan oleh syarikat barang lusuh.

"Setiap satu mata dinilai dengan harga lima sen. Ia hanya boleh ditebus apabila jumlah mata yang dikumpul mencecah 300 mata atau bersamaan RM15.

"Mata ini boleh disemak dalam portal sebelum ditebus dalam bentuk wang tunai atau baucar pembelian di pusat beli-belah Aeon," jelasnya.

Ketika ini, iCYCLE telah dipraktikkan oleh 6,000 isi rumah di tujuh buah negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Selangor.

Malah, model iCYCLE turut diaplikasikan oleh beberapa komuniti di seberang laut seperti Singapura, Hong Kong dan Guangzhou, China.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi iCYCLE, Hayden Yap berharap, sistem iCYCLE dapat membantu mendidik masyarakat di negara ini mengitar semula sisa pepejal.

Katanya, didikan tersebut bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya mengitar semula sisa pepejal kepada alam sekitar.

"Kempen kitar semula yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini kurang mendapat sambutan disebabkan masyarakat masih tidak sedar akan kepentingan kepada alam sekitar.

Mudah


ICYCLE dapat membantu mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal


"iCYCLE boleh dianggap sebagai alternatif kepada kempen kitar semula yang diperkenalkan sebelum ini. Sistem ini lebih mudah kerana mereka tidak perlu mengasingkan sampah.

"Ini pastinya dapat membantu menggalakkan masyarakat untuk mengitar semula sisa pepejal mereka dalam memelihara alam sekitar serta mendapat ganjaran," katanya.

Data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menunjukkan penduduk di negara ini membuang sehingga 33,000 tan metrik sampah setiap hari.

Setiap tahun, pihak berkuasa tempatan (PBT) terpaksa membelanjakan hampir RM1.2 bilion untuk kerja pengutipan sampah.

Hayden memaklumkan, pihaknya sedang berbincang dengan pihak PBT di beberapa buah negeri yang berminat menggunakan sistem iCYCLE.

Jelasnya, kerjasama tersebut diharap dapat membantu PBT mengurangkan kos pengurusan sampah, selain meningkatkan aktiviti 3R iaitu Reduce (kurangkan), Recycle (kitar semula) dan Reuse (guna semula).