Persaingan sengit mendapatkan pekerjaan


PERSAINGAN untuk mendapatkan pekerjaan dalam kalangan siswazah semakin sengit. GAMBAR HIASAN


SETELAH lebih tiga tahun menuntut ilmu di universiti, seorang pemuda yang mahu dikenali Fariz, 28, tidak dapat menahan perasaan gembira sebaik berjaya menggenggam segulung ijazah.

Dia yakin kejayaan itu akan menjadi satu platform untuk mencari kerja yang menawarkan gaji lumayan.

"Sebaik sahaja tamat pengajian, saya terus memohon pekerjaan yang bersesuaian dengan taraf pendidikan yang saya ada.

"Pelbagai tawaran kerja dipohon tetapi saya masih gagal untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang dan kelulusan saya," jelasnya.

Tambahnya, pada satu tahap, dia berasakan penat lelah ketika belajar di universiti dahulu seperti sia-sia kerana tidak mendapat kerja yang bersesuaian dengan kelayakannya.

Kini selepas lebih empat tahun menamatkan pengajian dalam bidang pengurusan sumber manusia, dia masih lagi mencari kerja-kerja yang menawarkan gaji bersesuaian dengan taraf pendidikannya.

"Sekarang saya hanya bekerja sebagai pembantu di sebuah farmasi dengan gaji sekitar RM1,100 sebulan.

"Tidak dapat dinafikan, mencari kerja yang bersesuaian dengan kelayakan yang kita ada bukanlah sesuatu yang mudah.

"Saya lihat ramai juga rakan yang sama-sama menuntut di universiti masih belum mempunyai kerja yang bersesuaian dengan mereka," jelasnya.

Isu pengangguran dalam kalangan siswazah bukan satu perkara baharu dan dilema itu akan dilalui oleh setiap graduan yang baru menamatkan pengajian.

Setiap tahun ribuan siswazah berjaya menamatkan pengajian dan mereka kemudiannya perlu bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.

Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan seramai 54,103 siswazah universiti menganggur dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing tahun lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, jumlah itu adalah berdasarkan kepada Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang menyaksikan 238,187 siswazah menamatkan pengajian tahun lalu.

Jelas beliau, antara kursus-kursus yang menyaksikan kadar pengangguran paling tinggi ialah pentadbiran perniagaan dan perdagangan, sains gunaan, pengurusan sumber manusia, perakaunan, sastera serta sains sosial.

Kriteria


SEMAKIN ramai siswazah bekerja dalam bidang berbeza daripada kursus pengajian yang diambil semasa di universiti lalu. Gambar hiasan


Dalam pada itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr, Azmawani Abd. Rahman berkata, berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh pihak industri, permintaan untuk mendapatkan tenaga kerja itu sentiasa ada.

Menurutnya, pihak industri sentiasa menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada siswazah yang baru tamat pengajian untuk bekerja dengan mereka.

"Berdasarkan perhatian saya, ada pihak industri tidak meletakkan jurusan pengajian sebagai kriteria utama untuk seseorang siswazah memohon kerja.

"Ada sesetengah industri mengambil pekerja yang mempunyai jurusan pengajian berbeza.

"Apa yang penting untuk seseorang siswazah itu ialah bersedia dengan persaingan untuk mendapatkan pekerjaan itu,"katanya.

Azmawani turut menjelaskan, sikap generasi sekarang yang memilih kerja juga menjadi faktor kepada masalah pengangguran dalam kalangan siswazah.

Jelasnya, sebagai pelajar yang baru menamatkan pengajian, siswazah perlu bermula dari bawah dan jangan memikirkan tentang bayaran gaji tinggi sebaliknya kutip pengalaman sebanyak mungkin terlebih dulu.

"Pihak industri tidak akan menawarkan gaji yang tinggi sebagai permulaan untuk siswazah ini. Mereka akan melihat sikap dan prestasi kerja terlebih dulu.

"Oleh itu, sebelum memasuki alam pekerjaan, siswazah ini perlu lengkapkan diri mereka dengan beberapa kemahiran diri.

"Ini kerana dalam alam pekerjaan sebenar, seseorang itu akan sentiasa berkomunikasi, membuat keputusan, bekerja dalam kumpulan dan lain-lain lagi," tegasnya.

Tambahnya, jangan malu untuk bermula dari bawah kerana mereka yang berjaya dalam sesuatu pekerjaan juga bermula dari bawah terlebih dulu.

Dalam pada itu, Azmawani berkata, siswazah juga tidak perlu terlalu fokus untuk bekerja makan gaji sebaik sahaja tamat pengajian.

Jelasnya, mereka boleh menceburi bidang-bidang perniagaan yang berpotensi pada masa kini. Jika berjaya, ia sedikit sebanyak akan membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.