Minarwan, Sharon ceburi dunia penyiaran


MINARWAN (kanan) dan Sharon kini bertugas dengan Astro Arena.


"SAYA berasa teruja dan gembira apabila diberi peluang untuk membawa obor pada pusingan akhir bersama legenda-legenda sukan yang lain sempena pembukaan Sukan SEA 2017 di tanah air sendiri.

"Ini merupakan satu penghormatan besar yang pernah saya terima. Apa yang boleh saya katakan, peluang yang diberikan ini menunjukkan pengorbanan saya dalam bidang sukan sebelum ini dihargai," ujar bekas pemain hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, 45.

Walaupun telah lama bersara, Mirnawan masih terlibat secara langsung dalam arena sukan negara.

Selain diberi penghormatan membawa obor pada majlis perasmian Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, dia turut terlibat secara langsung pada temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu selaku salah seorang wartawan penyiaran untuk Astro Arena.

Minarwan berkata, peluang yang diberikan oleh Astro Arena untuk menjadi sebahagian daripada warga kerja dalam membuat liputan Sukan SEA 2017 akan digunakan sebaik mungkin.

"Saya yakin tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan ini. Ini kerana saya mempunyai sedikit pengalaman dalam bidang penyiaran pada beberapa temasya sukan sebelum ini," jelasnya.

Ketika diminta mengulas bagaimana boleh terlibat dalam dunia penyiaran sukan, Minarwan menjelaskan, dia sendiri tidak menjangka akan terjun ke dalam bidang itu setelah bersara daripada dunia sukan hoki.

Pembelajaran

Minarwan berkata, saya terlibat dalam dunia penyiaran sukan sekitar tahun 2010.

"Pada mulanya, Astro Arena melantik saya sebagai duta mereka pada tahun itu. Pada masa sama, mereka memberi pendedahan kepada saya untuk menjadi pengulas sukan terutamanya sukan hoki.

"Daripada situ, saya mula berjinak-jinak dalam bidang penyiaran sukan. Mereka juga mengembangkan skop tugas saya, tidak hanya membuat ulasan dalam sukan hoki tetapi acara-acara lain," jelasnya yang pernah mewakili negara dalam sukan hoki selama 15 tahun.

Tambah Mirnawan, dia amat berterima kasih kepada Astro Arena kerana mengembangkan bakatnya dalam dunia penyiaran sukan walaupun tidak pernah mendapatkan proses pembelajaran secara rasmi dalam bidang itu.

Minarwan antara bekas atlet sukan yang berjaya dan dia pernah menghadiahkan lima pingat emas dalam acara hoki buat negara sepanjang lima temasya Sukan SEA.

Selain Minarwan, seorang lagi bekas atlet negara, Sharon Wee, 39, turut terjun ke dunia penyiaran sukan selepas bersara daripada acara skuasy.

Sharon juga antara atlet Malaysia yang sering mengharumkan negara dengan kejayaan yang diraihnya.

Dia juga telah menyumbang lima pingat emas buat negara sepanjang penyertaannya dalam lima kejohanan Sukan SEA.

Menurut Sharon, ini merupakan kali keempat dia terlibat sebagai wartawan penyiaran untuk Sukan SEA.

"Kali pertama saya terlibat sebagai wartawan penyiaran untuk sukan SEA adalah pada tahun 2011 di Palembang, Indonesia.

"Kali ini lebih bermakna kerana ia berlangsung di tanah air sendiri," ujarnya yang kali terakhir mewakili negara sebagai atlet pada temasya Sukan SEA 2005 di Filipina.

Dalam pada itu, Sharon mengakui, dia kini sudah jatuh cinta dengan dunia penyiaran.

Menceburi bidang itu selepas bersara daripada arena sukan skuasy adalah satu keputusan tepat.

Jelasnya, perancangan asal selepas bersara daripada arena sukan adalah untuk menjadi jurulatih dan pakar motivasi sukan.

Namun, dia sendiri tidak menjangka akan terjun dalam bidang penyiaran.

"Pada mulanya, saya sekadar mencuba menjadi pembantu pengulas untuk sukan skuasy pada tahun 2010.

"Selepas itu, pihak Astro Arena membuat tawaran untuk bersama mereka dan saya mengambil peluang itu.

"Ketika menjadi atlet dahulu, saya yang ditemu ramah. Kini sebaliknya, saya pula yang bertanggungjawab untuk menemu ramah atlet-atlet negara," jelasnya.