Kenangan terindah di Manchester, Liverpool


PENULIS (empat dari kanan) bersama pemenang Dashing bergambar kenangan di dalam Stadium Etihad, Manchester, England.


BAGI peminat tegar kelab bola sepak Liga Perdana England (EPL), mereka pasti memasang impian untuk menyaksikan perlawanan di stadium pasukan pilihan masing-masing.

Penulis juga amat teruja apabila menjejakkan kaki buat kali pertama ke Stadium Etihad, Manchester, England.

Penulis berasa teruja sebaik berada di pintu masuk utama stadium, sekali gus tidak sabar untuk meneroka seluruh ceruk mercu tanda moden bandar raya itu.

Pada percutian kali ini, penulis bersama tujuh lagi rakyat Malaysia diterbangkan ke Manchester oleh Dashing for Men (Dashing) bagi menikmati pengalaman manis bersama kelab bola sepak England, Manchester City.

Bermula dengan hanya membeli produk Dashing dan menyertai peraduan musim ketiga yang dianjurkan Dashing iaitu Hey Bro Wanna Go Manchester, penulis dipilih sebagai pemenang bulanan bagi bulan Disember pada tahun lalu.

Meskipun nama diumumkan sebagai pemenang dan gambar dimuat naik di laman web rasmi Dashing, penulis masih tidak percaya menjadi salah seorang daripada lapan pemenang yang akan dibawa ke Manchester.

Segala teka-teki itu terjawab pada 16 Mac lalu apabila semua pemenang termasuk pengurus pemasaran Dashing, Venkat Jangam berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kami menerima tiket penerbangan masing-masing.

Ketika itu barulah penulis percaya akan melancong ke Manchester, England.

Cuaca sejuk

Perasaan teruja mula membuak-buak untuk mendapatkan pengalaman yang sangat menarik kerana kami akan mengunjungi tiga buah stadium dan menyaksikan perlawanan yang telah dijadualkan sebelum bergerak ke Manchester.

Setelah lapan jam menempuh penerbangan dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, kami transit selama lebih kurang sejam dan menunaikan solat jamak Maghrib serta Isyak berjemaah.

Selepas itu, terbang lagi selama lebih kurang enam jam untuk sampai ke Manchester.

Sebaik selesai urusan di lapangan terbang, buat pertama kalinya penulis merasai suasana yang sangat dingin.

Cuaca yang sejuk menyambut kehadiran penulis bersama rakan-rakan lain.

Kami terus dibawa ke bandar Manchester dan mendaftar masuk di Hotel Double Tree by Hilton.

Lebih kurang sejam, kami diberi masa untuk berehat dan bersarapan.

Kemudian, kami dibawa ke tempat pertama yang dijadualkan iaitu mengunjungi Muzium Old Trafford, muzium rasmi kelab bola sepak Manchester United (MU) yang merupakan muzium bola sepak terbesar di dunia.

Sejarah perkembangan kelab dan segala piala yang dimenangi oleh MU dipamerkan di dalam muzium itu.

Kami juga diberi layanan VIP hingga makan tengah hari di Red Cafe dan berpeluang membeli cenderamata di Mega Store MU. Bergambar di depan stadium pasti menjadi keutamaan.

Lawatan diiringi Pengurus, Bahagian Pembangunan Perniagaan Muzium Old Trafford, Jason Leach.

Selain Leach, turut mengalu-alukan kehadiran peserta ialah bekas pemain Manchester United, Ben Thornly.


Penulis bergambar di hadapan Stadium Old Trafford di Manchester.


Pada hari kedua di Manchester, kami meneruskan eksplorasi ke Stadium Anfield yang terletak di Liverpool.

Kami mengambil masa selama setengah jam untuk sampai ke Liverpool.

Pemandangan yang sangat cantik mengiringi perjalanan kami dari Manchester ke Liverpool.

Seterusnya, kami mengunjungi Stadium Anfield dan pemilik kelab bola sepak Liverpool.

Menariknya, stadium ini berada di tengah-tengah kawasan perumahan.

Ketika itu, pihak pengurusan stadium sedang melakukan pembinaan baharu.

Jadi, kami memasuki tempat persalinan pemain sementara bagi pasukan Liverpool.

Stadium Anfield juga mempunyai muzium yang mempamerkan banyak piala yang telah dimenangi kelab.

Satu ruang khas dibina untuk mempamerkan koleksi pemain legenda kelab itu yang diberi nama The Steven Gerard Collection.

Selain itu, kami dibawa oleh pemandu pelancong menaiki bas khas untuk melihat tempat-tempat bersejarah khusus bagi kumpulan The Beatles.

Antara tempat yang disinggahi ialah Penny Lane. The Beatles telah mencipta lagu yang bertajuk Penny Lane yang menceritakan budaya masyarakat yang berlaku di Penny Lane.

Tiket VIP

Hujan renyai-renyai menemani perjalanan hari ketiga kami di Manchester.

Seawal pukul 9 pagi, kami mengunjungi Muzium Bola Sepak Nasional. Hanya dengan berjalan kaki selama lebih kurang 15 minit dari hotel, penulis selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Muzium itu mempamerkan sejarah bola sepak dunia dan antara aktiviti menarik yang kami peroleh ialah bermain sepakan penalti dengan penjaga gol komputer.

Seterusnya, kami bergerak ke Stadium Etihad menaiki bas. Paling terkejut apabila penulis dan rakan-rakan dapat tiket penonton VIP.

Tiket itu seperti tiket menaiki kapal terbang, ada nombor baris dan tempat duduk penonton perlawanan. Menariknya, pemilik tiket VIP ini dapat makan terlebih dahulu di restoran khas.

Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu perasaan penulis dan tujuh orang pemenang lain.

Walaupun sukar mendapatkan makanan halal, kami tetap kenyang selepas menjamu hidangan yang sangat sedap dan menyelerakan.

Tepat pukul 4.30 petang waktu tempatan, perlawanan bermula. Bagi penulis, perlawanan EPL yang penulis saksikan secara langsung itu sangat menarik kerana ia melibatkan pertembungan antara Manchester City dengan Liverpool yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Stadium penuh bagaikan perlawanan akhir. Sikap positif yang boleh diambil ialah penontonnya sentiasa berdisiplin menjaga kebersihan stadium.

Kenangan terindah di Manchester terlalu sukar untuk dilupakan. Insya-Allah mudah-mudahan kami dapat kembali lagi di sini selepas ini.