Harga barangan serendah RM1

Orang ramai yang berminat untuk menyumbang barangan boleh berkunjung terus ke Kedai Amal Imanina atau membuat temu janji terlebih dahulu.


SABAN hari, Muhammad Ariff Ruhaizad, 20, melihat ramai orang berkunjung ke kedai barangan terpakai di sebelah kedai bateri kereta tempatnya bekerja.

Ada yang datang dengan tangan kosong dan pulang sambil membimbit beg plastik berisi barangan.

Sebahagiannya pula datang dengan beberapa beg plastik yang penuh berisi barangan, namun pulang dengan tangan kosong.

Diasak dengan perasaan ingin tahu, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu lantas mengatur langkah menuju kedai Kedai Amal Imanina yang terletak di sebelah kiri kedai tempatnya bekerja sejak Januari 2015.

“Saya sangat teruja sebaik melihat banyak baju digantung pada beberapa rak penyidai di dalam dan luar kedai.

“Bukan sahaja pakaian, terdapat juga barangan lain di dalam kedai seperti kasut, beg, buku, alat permainan kanak-kanak dan beberapa kelengkapan elektrik seperti televisyen yang dipamerkan untuk jualan,” ujarnya yang telah dua tahun bekerja di Taman Bukit Chedang, Seremban, Negeri Sembilan.

Kesemua barangan yang dijual di Kedai Amal Imanina ditawarkan pada harga yang jauh lebih rendah berbanding kedai barangan terpakai lain. Menariknya, barangan yang dijual itu tidak diimport dari luar negara sebaliknya merupakan milik orang perseorangan tempatan yang disumbangkan secara sukarela untuk tujuan amal.

“Pada harga serendah RM1, saya sudah boleh membeli sehelai baju-T untuk kegunaan harian.

“Saya juga tidak melepaskan kesempatan untuk menyumbangkan beberapa barangan yang sudah tidak digunakan, namun masih dalam keadaan baik milik sendiri dan adakalanya menyampaikan sumbangan barang yang dikirim majikan,” kata penyelia muda itu.

Sumbangan


Sudut yang menempatkan permainan dan keperluan kanak-kanak.


Berbeza halnya dengan Umi Khlsom Yusof, 53, Perunding Pengurusan dan Perancangan Harta Orang Islam yang menetap di Ampangan, Seremban itu mula menyedari kewujudan Kedai Amal Imanina pada minggu lepas apabila terjumpa pautan kedai amal itu sewaktu sedang melayari laman Facebook.

“Sudah menjadi kelaziman keluarga saya untuk mengasingkan barangan yang jarang atau tidak digunakan di rumah untuk disumbangkan kepada sebuah kedai amal yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Kini, setelah mengetahui adanya kedai amal lain yang mengguna pakai konsep serupa dan terletak berdekatan, ia lebih memudahkan kami sekeluarga untuk menyalurkan sumbangan tanpa perlu pergi jauh,” tutur Umi Khalsom yang hadir sambil ditemani seorang anak perempuannya.

Menyingkap lanjut, Kedai Amal Imanina mula beroperasi pada bulan Januari 2015. Ia merupakan sebuah projek yang bermatlamat untuk menyumbang kembali khidmat bakti kepada masyarakat.

Pengasasnya, Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali memilih Taman Bukit Chedang kerana tempat itu mempunyai signifikan kepada dirinya. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu pernah tinggal dan membesar di situ bersama keluarganya suatu ketika dahulu.

“Pada awalnya, baju-baju di Kedai Amal Imanina dijual pada harga RM1 manakala seluar berharga RM3. Namun, kami terpaksa menaikkan sedikit harganya bagi menampung kos operasi kedai.

“Meskipun begitu, kami tetap pastikan semua barangan dijual pada harga murah supaya ia mampu dimiliki semua orang. Misalnya, baju kurung hanya RM5 sepasang,” ujarnya yang juga merupakan felo penyelidik di Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Mengulas mengenai inspirasi awal penubuhan Kedai Amal Imanina, Nuradli Ridzwan Shah memberitahu, idea tersebut timbul sewaktu dia melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah di Universiti Cardiff, Wales pada tahun 2009.

“Saya ke sana bersama isteri dan lima orang anak yang masih kecil. Memandangkan sumber kewangan sebagai pelajar agak terhad, kami banyak membeli barangan keperluan di kedai amal yang terdapat di sana.

“Justeru, saya terfikir mengapa tidak mewujudkan lebih banyak kedai seumpama itu di Malaysia, sebuah kedai amal yang bukan sahaja dapat membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga murah, malah turut menyalurkan sumbangan terkumpul kepada golongan yang lebih memerlukan,” katanya.

Perusahaan sosial


Kasut merupakan antara barangan yang boleh didapati di Kedai Amal Imanina.


Kedai Amal Imanina merupakan sebuah perusahaan sosial iaitu mereka menerima sumbangan barangan daripada orang ramai. Setelah ditolak kos operasi kedai, keuntungan yang diperoleh akan disumbangkan kepada golongan yang memerlukan, misalnya pelajar miskin atau anak yatim.

Orang ramai boleh memberi sumbangan berupa pakaian, kasut, beg, buku ilmiah, permainan kanak-kanak atau barangan lain di kedai itu atau temu janji. Barangan yang masih elok akan diasingkan untuk dijual.

Menurut Pengurus Operasinya, Ezzatul Husna Zolkafli, 25, sambutan yang diterima amat memberangsangkan, baik dari segi sumbangan orang ramai atau jualan.

“Kami menerima maklum balas positif daripada penyumbang dan pembeli. Ramai yang mengatakan kedai amal seperti ini lebih telus kerana mereka dapat melihat sendiri ke mana sumbangan mereka disalurkan.

“Setiap awal bulan, kami akan mencatat nama individu atau badan yang telah menerima sumbangan infaq bagi bulan sebelumnya pada papan hijau yang diletakkan di dinding. Ia penting supaya pengunjung dapat mengetahui ke mana sumbangan tersebut disalurkan,” jelas anak kelahiran Parit Buntar, Perak yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sastera Bahasa Arab dan Komunikasi di USIM itu.

Penolong Pengurus Operasinya, Siti Sarah Afandi, 23, memberitahu, mereka juga mengalu-alukan kedatangan sukarelawan yang berminat untuk membantu melancarkan operasi di Kedai Amal Imanina.

“Memandangkan Kedai Amal Imanina merupakan sebuah perusahaan sosial, maka kami menggalakkan kehadiran sukarelawan sama ada warga tempatan atau luar negara.

“Selain dibantu oleh beberapa orang pelajar Kolej Negeri Kampus Chedang, kami juga pernah menerima dua orang sukarelawan luar negara dari Argentina dan Amerika Syarikat,” jelas anak keempat daripada sembilan orang adik-beradik yang juga merupakan pelajar USIM dalam jurusan pemasaran dan perkhidmatan kewangan itu.

Sambutan memberangsangkan yang diterima Kedai Amal Imanina dan perusahaan sosial secara amnya kini wajar dikembangkan ke seluruh negara agar manfaatnya dapat dinikmati oleh kumpulan sasar lebih besar.