Dram bulatan bina persekitaran positif


sebahagian peserta bergambar kenangan dengan sijil masing-masing selepas berjaya menamatkan Seminar Rakan Pemimbing Perkhidmatan Awam peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani baru-baru ini.


PUKULAN dram dipanggil djembe saling bertingkah diiringi bunyi alat muzik lain seperti kerincing dan konga kedengaran begitu meriah tatkala kaki melangkah ke Dewan Serbaguna Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya baru-baru ini.

Senyuman ceria jelas terpamer pada wajah sekumpulan kakitangan dari kementerian tersebut yang sedang mengikuti slot dram bulatan sempena Seminar Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam pada petang tersebut.

Tanpa bersuara atau mengeluarkan arahan secara lisan masing-masing sudah mengetahui peranan yang perlu dimainkan dalam menghasilkan gubahan rentak yang harmoni.

Seorang peserta Meriani Jamaludin, 54, melahirkan rasa teruja dapat menguasai cara-cara permainan dram bulatan menerusi slot selama dua jam yang disediakan penganjur.

“Sebelum ini, saya tidak mempunyai asas pengetahuan muzik atau pernah bermain instrumen seumpama itu, tetapi perasaan selepas melakukan aktiviti ini begitu istimewa.

Mimik wajah

“Saya berpendapat modul tersebut memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi melalui ekspresi mimik wajah dan bahasa tubuh,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dek kerana minat yang mendalam, petugas dari Seksyen Pengukuhan Integriti itu turut membeli djembe sendiri setelah mengetahui mengenai modul terapi tersebut.

Pengasas The Colours of Sound, Haiqal Hermanshah Rahman menjelaskan selaku fasilitator dram bulatan, beliau bertindak seperti konduktor yang akan menghasilkan irama kreatif seterusnya diikuti anggota pemain yang lain.

Beliau yang terlibat dalam aktiviti tersebut sejak tahun 2006 berkata, dram bulatan mula dipopularkan di Amerika Syarikat digunakan sebagai medium terapi kepada komuniti terlibat.

“Apabila anggota mendengar melalui telinga dan melihat pergerakan fasilitator yang mengendalikan dram utama, secara automatik mereka dapat mengikuti rentak yang ditunjukkan. Ia mudah dipelajari oleh sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia.

“Pada pengalaman saya, manusia mudah beradaptasi dengan muzik. Justeru, selepas penat bekerja atau melakukan perkara yang membebankan fikiran, aktiviti berkumpulan sebegitu dapat meredakan ketegangan dan membuatkan diri lebih relaks,” tuturnya.

Menurutnya, ia biasanya disertai antara 30 hingga 40 peserta yang berada dalam satu bulatan. Posisi itu membolehkan mereka dapat melihat pergerakan dan ekspresi wajah antara satu sama lain.

Modul pembelajaran

“Ia bukan sekadar aktiviti rekreasi tetapi turut berperanan sebagai modul pembelajaran yang sesuai diterapkan dari peringkat pendidikan rendah sehingga penuntut institusi pengajian tinggi.

“Dalam hal ini kerjasama dan semangat kerja berpasukan penting dalam memupuk persefahaman antara sesama ahli,” katanya yang aktif mengendalikan slot melibatkan pelajar termasuk anak-anak istimewa.

Sementara itu, kaunselor yang mengendalikan seminar tersebut, Dr. Rafidah Kastawi berkata, terapi menggunakan medium seni membolehkan peserta meluahkan perasaan dan emosi menerusi pendekatan kreatif secara spontan.

Beliau menggunakan aplikasi pendekatan Terapi Seni Ekspresif menggunakan medium seperti alat muzik, melukis dan mewarna memberi peluang kepada peserta mengekspresi perasaan serta buah fikiran mereka.

“Lumrah kehidupan tanpa mengira jawatan, bidang kuasa, latar belakang pendidikan pasti melalui ujian dan cabaran. Apatah lagi individu yang berada dalam sesebuah organisasi yang melibatkan hubungan, interaksi dan komunikasi antara manusia.

“Penggunaan dram contohnya berupaya membantu seseorang melepaskan tekanan emosi seperti perasaan marah, sedih dan geram.

“Ini memudahkan klien untuk mengenal pasti perasaan dan emosi sebenar, seterusnya memahami atau menyelesaikan permasalahan yang dihadapinya,” jelasnya.