Fadlan nafi sudah berkahwin


FADLAN mengakui hubungannya sudah diketahui oleh kedua-dua belah keluarga.


HUBUNGAN kisah cinta antara pelakon Fadlan Hazim dengan seorang wanita bernama Julie Anne sebenarnya sudah lama dihidu. Cuma, baru-baru ini, timbul dakwaan mengatakan kononnya pelakon drama bersiri Papa Ricky itu dikatakan sudah mendirikan rumah tangga bersama wanita tersebut.

Dakwaan itu dikuatkan lagi apabila menerusi akaun Instagramnya, terdapat kenalan artis yang turut memberikan ucapan tahniah menerusi ruangan gambar yang memaparkan dirinya bersama kekasih hatinya itu.

Bahkan, ucapan tersebut juga seolah-olah memberi gambaran bahawa Fadlan sudah memperisterikan ahli perniagaan tersebut apabila ada yang mendoakan agar mereka cepat dikurniakan cahaya mata.

Bukan itu sahaja, Fadlan juga kini dilihat sudah semakin terbuka untuk berkongsi perihal hubungan cintanya dengan wanita berkenaan apabila acap kali memuat naik foto dirinya bersama wanita itu di Instagram.

Bagaimanapun, pelakon berusia 25 tahun itu menafikan dakwaan yang mengatakan dirinya sudah berumah tangga. Katanya, buat masa ini, dia masih lagi berstatus solo.

“Eh, mana ada saya sudah berkahwin. Belum lagi. Apa yang ditulis oleh rakan artis itu hanyalah cubaan untuk mengusik saya sahaja. Mereka sengaja mahu mengacau saya.

“Maklumlah, rakan-rakan saya yang lain boleh dikatakan majoritinya sudah mendirikan rumah tangga. Jadi, itu yang mereka cuba memberikan komen sebegitu untuk menyakat saya,” katanya ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.


FADLAN akan memaklumkan kepada umum sekiranya benar dia mahu berkahwin.


Menurut Fadlan lagi, dia bersama Julie belum mempunyai perancangan untuk mengakhiri zaman bujang dalam masa terdekat. Katanya, jika benar seperti yang diperkatakan, semestinya berita gembira tersebut akan dikongsikan kepada semua termasuk peminatnya.

“Hubungan saya dan Julie memang rapat seperti biasa. Kami belum ada lagi perancangan untuk ke peringkat seterusnya. Apapun, jangan bimbang, jika ada jodoh, kalau mahu berkahwin, saya akan beri kad undangannya.

“Lagipun, saya tidak pernah nak menyorokkan hubungan yang wujud antara kami,” kongsi pelakon filem Sniper itu.

Ditanya adakah perbezaan agama menyebabkan dia perlu memikirkan banyak perkara sebelum membuat keputusan berkahwin, kata Fadlan, isu tersebut bukan menjadi penghalang.

“Saya pun masih muda lagi. Julie pun sibuk dengan bisnes rekaan kasut miliknya. Buat masa ini, masing-masing mahu memberikan fokus kepada kerjaya terlebih dulu. Dia pun mahu mengukuhkan lagi kedudukan jenama kasut yang cuba dibangunkannya itu.

“Keluarganya dan saya pun memang tahu hubungan kami. Biasalah, ibu memang akan bertanya apabila lihat hubungan kami. Cumanya, kami ini dalam proses mahu mengenali lebih dalam lagi,” katanya yang memberitahu tahu sudah menjalin hubungan cinta kira-kira sejak dua tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, kata Fadlan, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri 15 episod berjudul Cinta Hati Batu.

“Insya-Allah, saya juga akan terlibat dengan sebuah filem hujung tahun ini, tetapi perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan,” katanya.