Pelajar pascasiswazah UiTM bantu gelandangan




ISU gelandangan merupakan antara masalah sosial yang semakin menular dalam kalangan masyarakat.

Manakan tidak, boleh dikatakan kelibat golongan tersebut semakin mudah untuk dilihat di bandar-bandar utama di negara ini.

Sebelum ini, kebanyakan golongan itu terdiri daripada pesakit mental, pengemis atau penagih dadah, namun kini trend tersebut mula berubah.

Semakin ramai kalangan individu berkeupayaan menjadi gelandangan akibat masalah keluarga, kewangan atau kehilangan pekerjaan.

Tidak hairanlah jumlahnya kini kian bertambah, biarpun banyak pusat perlindungan diwujudkan untuk membantu golongan ini.

Malah, berdasarkan bancian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 2015 sahaja terdapat sekurang-kurangnya 1,500 hingga 2,000 orang gelandangan di ibu negara.

Atas dasar keprihatinan bagi membantu golongan ini, Institut Pengajian Siswazah (IPSis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor dan Persatuan Pelajar Pascasiswazah UiTM (UiPS) baru-baru ini telah melaksanakan projek kemasyarakatan dikenali sebagai Homeless Kit Project 1.0 (HKP 1.0).

Program yang diadakan dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kindness Malaysia itu dijalankan di sekitar Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Penasihat Projek, Dr. Suhaily Hasnan berkata, program itu disertai 70 sukarelawan terdiri daripada pelajar UiTM, kakitangan IPSis dan sukarelawan Kindness Malaysia.

Katanya, ia merupakan sebahagian aktiviti persatuan dan universiti bagi mendekatkan diri dengan masyarakat.


SEBANYA K 400 pek makanan dan minuman serta kit kebersihan diri diedarkan sepanjang projek ini.


“Objektif utama projek ini bukan sahaja bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik ini, malah memberi peluang kepada para peserta untuk mendekatkan diri dengan mereka (gelandangan).

“Setidak-tidaknya pengalaman yang dikongsi dapat memberi kesedaran kepada para pelajar dan memberi inspirasi kepada anggota masyarakat yang lain untuk terus membantu golongan ini pada masa hadapan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bersyukur

Beliau yang juga merupakan Ketua Pengajian Siswazah (Pembangunan Akademik, Sumber dan Pelajar) IPSis memberitahu, lokasi tumpuan projek ialah di sekitar Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu kerana ia merupakan antara lokasi popular golongan itu di ibu negara.

“Sebanyak 400 pek makanan dan minuman serta kit kebersihan diri telah diedarkan sepanjang projek ini.

“Semua sumbangan diterima daripada individu perseorangan menerusi hebahan di laman-laman sosial dan kalangan ahli keluarga pelajar.

“Lebih membanggakan, salah seorang pelajar yang mengusahakan perniagaan biskut Hipster Cookies turut menyumbangkan produk-produknya bagi menjayakan projek ini,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pelajar, Mohd. Aqbar Mohd. Amin, 27, berkata, ini merupakan kali kedua dia terlibat dalam membantu golongan gelandangan di ibu negara.

“Saya pernah melakukan program sama kira-kira dua tahun lalu ketika menuntut di Fakulti Seni Reka, UiTM.

“Dulu jumlah mereka tidak begitu ramai, sekarang jumlahnya mungkin sudah meningkat dua atau tiga kali ganda,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Presiden UiPS memberitahu, biarpun agak singkat, namun pengalaman mendekati golongan gelandangan menyebabkan dia lebih bersyukur dan menghargai kehidupan.

Katanya, sebahagian besar mereka mempunyai keupayaan fizikal namun terpaksa menjadi gelandangan atas pelbagai faktor.


PESERTA mendengar taklimat daripada sukarelawan Kindness Malaysia sebelum mengedar sumbangan kepada gelandangan.


“Misalnya, masalah keluarga, tekanan perasaan, kewangan dan sebagainya. Malah, jangan terkejut ada juga yang memiliki pekerjaan namun memilih menjadi gelandangan kerana tidak mampu menyewa rumah disebabkan kos sara hidup yang tinggi.

“Saya juga hampir menitiskan air mata apabila mendengar luahan seorang warga emas yang memberitahu telah dibuang keluarga dan anak-anaknya sebelum menjadi gelandangan.

“Semua luahan dan pengalaman ini sememangnya menginsafkan dan saya bertekad untuk terus membantu mereka, mungkin dengan kaedah lain pada masa hadapan,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Mohd. Rizal Atan, 36, berkata, projek tersebut dapat memberi pendedahan kepada para peserta tentang realiti kehidupan di kota.

“Golongan ini lazimnya berkeliaran pada tengah malam atau awal pagi.

“Sebelah siang pula mereka mungkin bekerja di sana sini seperti orang lain, namun siapa sangka disebabkan tekanan hidup mereka memilih untuk hidup di jalanan,” katanya.

Jelasnya, pengalaman bersama NGO sebelum ini telah sedikit sebanyak membiasakannya dalam menyantuni mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama.

“Projek ini bagaimanapun hanyalah sumbangan dalam usaha membantu meringankan beban golongan ini untuk seketika. Langkah terbaik ialah mencari penyelesaian terhadap permasalahan ini daripada terus berakar umbi di dalam negara,” ujarnya.