Versatiliti sandal kembara Teva


Sandal Teva tampilkan pengalaman santai semasa melakukan aktiviti rekreasi luar.


Menjalani aktiviti lasak seperti mendaki gunung kebiasaannya memerlukan seseorang itu memakai sepasang kasut bagi tujuan berkenaan.

Ini kerana, kasut cenderung direka untuk melaksanakan kegiatan kecergasan dan seumpamanya.

Pada masa sama, soal keselamatan individu juga lebih terjamin memandangkan ia memiliki perincian istimewa supaya aktiviti riadah menjadi lebih lancar.

Meskipun begitu, tidak ramai individu yang gemar memakai kasut bertutup memandangkan ia boleh menyebabkan kaki berasa kurang selesa.

Prihatin isu berkenaan, pengeluar pakaian aktiviti lasak dari Grand Canyon, Amerika Syarikat, Teva memperkenalkan dua model sandal baharu ke pasaran Malaysia iaitu Verra dan Terra Fi Lite.

Kedua-dua model tersebut dilancarkan di kedai konsep pertama Teva di Malaysia menerusi pengedar rasminya iaitu Prestiges Sports Sdn. Bhd. di pusat beli-belah Sunway Velocity, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sandal tersebut direka khas untuk kegunaan lasak namun pada masa sama amat selesa untuk dipakai sebagai sandal harian.

Menurut jurucakap Teva, Frankie Ng, ia amat sesuai untuk dipakai sebagai alternatif kasut dalam menjalani aktiviti lasak sambil menawarkan pengalaman yang santai.

“Matlamat utama Teva adalah mahu memberikan pengalaman baharu kepada penggemar aktiviti rekreasi luar.

“Tanpa mengetepikan fungsi utama pada sandal rekreasi luar, Verra dan Terra Fi Lite turut didatangkan dalam warna yang menarik menjadikannya sepasang sandal versatil.

“Kami mahu Teva dikenali sebagai sebuah jenama yang mengangkat gaya hidup sukan bagi mereka yang sukakan aktiviti kembara yang lasak,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran itu.


Rekaan tapak sandal memberikan cengkaman untuk aktiviti kembara.


Keistimewaan sandal tersebut ialah ia didatangkan dengan jaring poliester tahan lasak pada bahagian tali menjadikannya lebih cepat kering jika terendam di dalam air.

Menyerap hentakan

Selain itu, bahagian tapaknya pula dilengkapi dengan kusyen penyerap hentakan iaitu Shoc Pad yang mampu menyerap hentakan dengan baik setiap kali berjalan.

Lebih menarik lagi, teknologi antimikrobial yang diaplikasikan dalam penghasilan sandal berkenaan iaitu Microban berasaskan zink, mampu mengelak sandal daripada berbau busuk akibat kesan peluh.

Verra merupakan sandal kembara khusus untuk golongan wanita dengan potongan bergaya dan feminin namun masih mengutamakan keselesaan pemakai.

Ia boleh diperoleh dalam variasi warna pada harga RM319.

Terra Fi Lite pula merupakan sandal yang direka khusus untuk menepati cita rasa maskulin sang jejaka.

Sensasi saat menyarung sandal tersebut tidak ubah seperti berada di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika menyertai ekspedisi kembara yang lasak.

Ia ditawarkan pada harga RM379 dan boleh didapati dalam pelbagai warna.