Bersih pantai elak vektor perosak


SUASANA sekitar Pantai Remis kelihatan bersih.


SEKITAR pukul 2 petang, kelihatan sejumlah kanak-kanak berbaju hitam dan memakai topi sedang berlegar-legar di kawasan Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor.

Di tangan masing-masing, terdapat bungkusan beg plastik sampah yang agak besar. Mereka kelihatan sedang mengutip sesuatu daripada pantai berkenaan.

Mendekati kanak-kanak berkenaan, mereka sedang mengikuti Kempen Tanam Pokok di Taman Alam Kuala Selangor dan Pembersihan Pantai di Pantai Remis itu pada 19 Ogos lalu.

Kempen berkenaan merupakan anjuran Majlis Daerah Kuala Selangor bersama Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (Perkam).

Menurut Pengerusinya, Dr. S. Santharasekaran, aktiviti tersebut merupakan aktiviti sosial bagi menerapkan nilai-nilai cintakan alam sekitar kepada kanak-kanak terutamanya di kawasan tumpuan pengunjung.

“Lokasi ini merupakan kawasan pelancongan dan riadah yang amat diminati oleh masyarakat setempat dan juga masyarakat luar.

“Tindakan kanak-kanak ini membersihkan pantai dapat memberikan motivasi kepada pengunjung yang hadir untuk mengekalkan keindahan dan kebersihan pantai,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bebas penyakit


Santharasekaran menerangkan kepada kanak-kanak tentang pokok paya bakau yang terdapat di Taman Alam Kuala Selangor.


Tambah beliau, pantai yang bersih dapat mewujudkan kawasan yang bebas daripada penyakit akibat vektor perosak dan ceria sentiasa.

Pada Kempen Tanam Pokok dan Pembersihan Pantai berkenaan, seramai 550 aktivis alam sekitar yang terdiri daripada anak-anak muda daripada kelab Renjer Konservasi Alam Malaysia di bawah Perkam hadir bersama-sama menjayakan program komuniti tersebut.

Turut melibatkan diri dengan aktif dalam program berkenaan adalah 55 Renjer Muda Alam Sekitar bersama lima orang guru dari Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020, Tanjung Malim; Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Behrang River, Tanjung Malim; Sekolah Kebangsaan Sungai Behrang, Slim River dan Sekolah Kebangsaan Sungkai, Sungkai, Perak.

Sementara itu, kaunselor bertauliah, Abdul Hakim Radzi berkata, kawasan tumpuan umum perlu dijaga dengan baik terutamanya daripada masalah vektor perosak seperti tikus dan nyamuk.

“Jika kawasan dipenuhi sampah-sarap, dikhuatiri kawasan ini akan ditimpa bencana. Apa pun setakat ini, kawasan Pantai Remis dijaga dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Kuala Selangor serta masyarakat setempat.

“Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing kawasan ini akan terus terpelihara dan kami amat menghargainya,” tuturnya.