Kembali sibuk selepas Hari Raya Aidiladha

Ruziah terlibat dalam perniagaan kelengkapan haji dan umrah sejak tahun 2006.


SUASANA dalam lot kedai milik JR Hajj Niaga yang menjual pelbagai keperluan haji dan umrah di tingkat 3 kompleks beli-belah Plaza Ampang City, Kuala Lumpur tampak tenang pada pagi itu.

Dari luar dua lot kedai berdinding kaca itu kelihatan dua petugas sedang memeriksa stok barangan seperti kain ihram, telekung dan pakaian yang tersusun rapi di rak-rak bertingkat.

Maklumlah, ketika ini kesemua jemaah haji sudah berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu dengan penerbangan terakhir ialah pada Isnin lalu.

Pengarah Urusan JR Hajj Niaga, Ruziah Abd. Karim bercerita, tiada istilah berehat panjang kerana selaku pengeluar dan pemborong, stok yang menyusut perlu diganti semula.

“Kami akan kembali sibuk seminggu selepas Hari Raya Aidiladha bagi menampung keperluan jemaah umrah yang biasanya akan meningkat pada musim cuti sekolah.

“Lagipun, ada antara agensi pengelola umrah telah memulakan kursus. Bakal-bakal jemaah biasanya akan membuat tinjauan keperluan yang perlu dibeli lebih awal sementelah sudah ada pengumuman pakej penerbangan umrah dijadualkan pada Oktober ini.

“Dalam hal ini, insya-Allah kami akan terus mengekalkan rentak kerja ini sehingga ketibaan Syawal dan musim haji tahun depan,” ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui di Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengimbau kenangan lalu, Ruziah, 53, menyewa tapak niaga di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji, Jalan Tun Razak pada tahun 1996 selepas meletak jawatan di salah sebuah anak syarikat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Walaupun bekerja makan gaji selama sembilan tahun, semangatnya begitu berkobar-kobar.

Kira-kira selepas 10 tahun berniaga secara runcit, dia mengembangkan operasinya dengan menceburi perusahaan borong dan jahitan.

Gemar bereksperimen dengan pelbagai stail rekaan dan fabrik, Ruziah menghasilkan puluhan inovasi jahitan antaranya serkup kepala yang menutup dagu serta dapat menghalang anak rambut daripada terkeluar.

Dalam hal ini, produk stoking sahaja terdapat pelbagai jenis reka bentuk yang dihasilkan antaranya stoking empat serta lima panel, stoking tidak menampakkan bayang kuku dan tumit serta sarung kaki wuduk.

Material


Ruziah bersama anaknya, Mohd. Zhafri Amiry yang turut membantu operasi di JR Hajj Niaga.


“Mungkin ramai tidak mengetahui, untuk stoking jemaah wanita sahaja terdapat lima jenis stoking yang dicadangkan dibawa. Stoking tawaf contohnya, mempunyai material kain yang lebih licin supaya pemakai selesa berjalan di atas lantai marmar ketika melakukan ibadat itu.

“Saya menamakannya Stoking Hajjah. Ia mempunyai empat panel yang membuatkannya tidak mudah tertanggal apatah lagi dalam keadaan ramai orang manakala stoking yang digunakan untuk saie bersifat antigelincir dan mencengkam kaki supaya ia tidak mudah terlucut.

“Saya sendiri akan mencuba segala rekaan itu dan melakukan penambahbaikan supaya ia selesa dipakai selain memenuhi keperluan semasa terutamanya jika berada di tanah suci. Biasanya saya ke sana dua kali dalam tempoh setahun,” katanya.

Menurut Ruziah, jika dahulu, dia sendiri turun padang untuk membelek dan memilih material kain yang dikehendakinya tetapi kini segala urusan lebih mudah dilakukan secara jarak jauh dengan pembekal yang telah lama bekerjasama dengannya.

“Pada mulanya, saya memborong kebanyakan barang siap seperti seluar dan jubah. Saya mendapati ia merugikan kerana wang pusingan modal hanya dapat menampung untuk membeli sejenis item. Ini kerana jumlah pembelian minimum ialah 2,500 helai ke atas.

“Alhamdulillah kilang pertama berjaya dibuka di Felda Pasoh 4, Simpang Pertang, Negeri Sembilan pada tahun 2009 diikuti kilang kedua di Taman Dagang Jaya, Ampang, Selangor tidak lama selepas itu,” kata anak peneroka Felda itu.

Dalam hal ini, kebanyakan bekalan bahan mentah diperoleh dari China, Taiwan, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia. Sebanyak 90 peratus daripada produk JR Hajj Niaga dihasilkan di kilang itu.

Kedua-dua kilang itu mampu mengeluarkan 400 helai barangan setiap hari. Jika ia melibatkan barangan kecil seperti stoking, sarung lengan dan serkup kepala, pengeluaran boleh mencecah sehingga 800 helai setiap hari.

Menurut Ruziah lagi, dia kini mempunyai seramai 200 ejen aktif di seluruh Malaysia dan Brunei.

Berdasarkan kegigihan dan kecekapan mengemudi empayar perniagaan, dia dilantik menjadi satu-satunya mentor usahawan bidang tekstil di bawah industri haji oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) sejak tahun 2010.

Teroka peluang


Sebanyak 90 peratus produk yang dijual dihasilkan sendiri di dua kilang milik JR Hajj Niaga.


Mempunyai misi yang jelas dalam industri itu, dia kini sedang meneroka peluang perniagaan di Arab Saudi. Pada peringkat permulaan, dia menjalin kerjasama dengan Central Kitchen di Mekah untuk menyediakan makanan sejak tahun 2015.

“Alhamdulillah perniagaan baharu ini sebenarnya masih terlalu muda. Saya menganggap apa yang saya dan syarikat lakukan selama ini sudah mencapai tahap 60 peratus.

“Saya sebenarnya berhasrat untuk menyediakan tapak kepada anak-anak dan memberi kebebasan kepada mereka membawa perniagaan ini sejauh mungkin,” ungkap ibu kepada tujuh orang cahaya mata berusia antara 29 hingga 14 tahun itu.

Dia optimis hasrat itu mampu direalisasikan selepas empat orang anaknya menyertai JR Hajj Niaga.

Malah, kesemua mereka diberi pendedahan sejak usia muda untuk belajar dan mengambil tahu mengenai perniagaan itu.

“Saya tidak memaksa mereka. Saya cuma membina hala tuju dan terpulang kepada mereka untuk melakukannya mengikut kreativiti masing-masing.

“Sebagai mentor dan ibu, saya berasakan kita tidak boleh anggap anak-anak akan buat seperti yang kita buat. Mungkin mereka dapat lakukan dengan lebih baik,” tuturnya mengakhiri perbualan.