Menghayati pengorbanan mengisi kemerdekaan


NABI Muhammad menempuh perjalanan yang sukar termasuk merentasi gurun panas dalam menyampaikan dakwah. – Gambar hiasan


AGAMA datang untuk memerdekakan manusia daripada segala ikatan penghambaan kepada apa juga rupa bentuk makhluk.

Pada masa sama, mengikat manusia kepada penghambaan total terhadap perintah dan larangan Allah SWT.

Kemerdekaan bukan bermakna manusia bebas untuk memilih jalannya sendiri dalam menuju reda Ilahi tetapi perlu mengikuti jalan mereka yang telah diiktiraf keredaannya sendiri oleh Allah seperti firman-Nya di dalam surah at-Taubah ayat ke-100 yang bermaksud:

“Dan orang terdahulu yang mula-mula (berhijrah) daripada orang Muhajirin dan Ansar, dan orang yang menuruti (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia.

“Serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar.”

Maka, perlu difahami bahawa jalan yang ditempuh oleh mereka yang terdahulu adalah jalan yang penuh dengan pengorbanan dan susah payah.

Agama yang kita dapati hari ini adalah kerana adanya pengorbanan orang-orang terdahulu. Oleh kerana pengorbanan mereka, satu persatu kegelapan telah lenyap dan digantikan oleh Allah dengan cahaya.

Begitu juga dengan kesesatan yang telah digantikan oleh Maha Pencipta dengan petunjuk. Sifat manusia yang buas dan rakus, telah Allah ubah kepada sifat lemah lembut dan kasih sayang.

Jika kita meneliti sirah, bukan mudah Nabi Muhammad SAW berusaha atas agama Allah. Pergi pagi dengan pakaian yang bersih, pulang petang dalam keadaan yang kotor dan penuh berdebu.

Penderitaan

Ada ketikanya, kotor dengan najis haiwan, bahkan bukan sesuatu yang jarang jasad baginda berlumuran darah ketika pulang pada waktu petang hari.

Bermacam-macam kesusahan dan penderitaan telah dialami. Baginda dimaki dan diancam bunuh oleh kafir musyrikin yang ketika itu masih belum menerima ajaran Islam.

Dalam hal ini, isteri baginda, Saidatina Khadijah berterusan mengorbankan kemuliaannya sebagai seorang bangsawan dan seluruh harta bendanya dihabiskan untuk membantu Rasulullah memperjuangkan agama.

Dikatakan, dua pertiga kekayaan di kota Mekah ketika itu adalah milik Khadijah.

Namun, menjelang hari ajalnya, tiada kain kafan sempurna untuk menutupi jasadnya. Bahkan busana yang dipakainya ketika itu adalah pakaian hodoh dengan terdapat puluhan tampalan.

Sebelum Rasulullah menyeru manusia kepada Allah, penduduk kota Mekah menggelar baginda sebagai al-amin (seorang yang dipercayai), as-siddiq (seorang yang kata-katanya boleh dipegang), at-toyyib (paling baik), at-tohhir (manusia yang suci).

Namun, sebaik sahaja baginda memulakan usaha dakwah, maka satu persatu gelaran tadi telah ditukar kepada al-majnun (seorang yang gila), al-kazzab (seorang yang berdusta), as-sahirulkazzab (seorang ahli sihir yang nyata dan pendusta besar).

Justeru kerana pengorbanan merekalah, hari ini kita dapat mengenal Allah sebagai Pencipta. Kita mengenal solat dan pelbagai suruhan serta tegahan agama.

Kini, mereka telah pergi meninggalkan kita. Maka, bagaimana kita membalas pengorbanan mereka. Adakah kita bebas untuk memilih jalan mana yang kita suka dan tersasar daripada jejak langkah mereka yang telah dijamin keredhaan-Nya?

Ingatlah, nikmat agama ini akan lenyap jika tiada kesinambungan kepada usaha pengorbanan mereka yang terdahulu, lalu menjadikan kita kembali ‘terjajah’ dan terjauh daripada rahmat Ilahi.

Semoga kita dijauhkan daripada musibah ini.