Hungryghost Custom Inc ubah suai tiga buah motosikal sebulan

AHMAD JUNAIDI (tengah) berbangga kerana Hungryghost Custom Inc meraih kepercayaan pelanggan dari dalam dan luar negara.


BUNYI bising mesin-mesin berselang-seli memenuhi ruang premis bengkel motosikal yang terletak di Saujana Puchong, Puchong, Selangor itu.

Kelihatan beberapa kakitangan sibuk melakukan tugas masing-masing. Ada yang memotong besi, mengimpal dan tidak kurang juga yang menggerudi.

Ahmad Junaidi Abdul Aziz, 37, tidak terkecuali. Dia tekun mencanai permukaan kepingan besi di hadapannya menggunakan mesin pencanai tangan.

Sesekali dia menghentikan operasi mesin yang dipegangnya itu sambil jari-jemarinya menggosok-gosok permukaan besi tersebut.

Tujuannya bagi memastikan permukaannya licin dan rata. Riak wajahnya menggambarkan dia berpuas hati dengan hasil kerja yang dilakukan.

“Kepingan besi ini pada asalnya bersaiz besar sebelum dipotong kepada beberapa bahagian untuk membentuk mudgad motosikal.

“Bahagian yang telah dipotong ini kemudian dikimpal dan dicanai sehingga licin dan rata. Selepas itu, ia perlu digosok sekali lagi dengan kertas pasir sebelum di cat,” katanya yang merupakan pengurus Hungryghost Custom Inc, bengkel khusus untuk pengubahsuaian dan modifikasi motosikal berkuasa tinggi di negara ini.

Lelaki yang berasal dari Felda Kemahang 2, Tanah Merah, Kelantan itu mengakui meminati motosikal berkuasa tinggi sejak zaman kanak-kanak.

Bagaimanapun, minatnya terhad menerusi pembacaan di majalah atau menonton rancangan televisyen semata-mata.

Selepas tamat sekolah, dia melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Ketika belajar dahulu saya turut bekerja secara sambilan untuk membantu keluarga dan adik-beradik di kampung.

“Pada masa sama, saya berjaya mengumpul sejumlah wang sebelum membeli motosikal jenama Modenas Jaguh yang mempunyai bentuk seperti motosikal berkuasa tinggi.

“Walaupun kapasiti enjinnya kecil, namun saya berbangga kerana ia dibeli daripada hasil titik peluh sendiri,” ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.

Sebaik tamat pengajian, Ahmad Junaidi yang juga mesra disapa Joe Hungryghost telah bekerja sebagai jurutera di beberapa buah syarikat swasta di ibu negara.

Mempunyai sumber kewangan yang kukuh mendorong dia membeli sebuah motosikal berkuasa besar jenama Yamaha Virago dan sering terlibat dalam aktiviti konvoi bersama rakan-rakannya di seluruh negara.

“Menerusi karnival pemotoran yang disertai saya mula berkenalan dengan mereka yang pakar dalam bidang modifikasi motosikal dan melakukannya sendiri di rumah.

“Ketika itu, ramai rakan yang memuji hasil ciptaan saya sehingga ada yang meminta saya melakukan modifikasi terhadap motosikal mereka.

Reputasi

“Lama-kelamaan permintaan itu semakin meningkat sehingga halaman rumah penuh dengan motosikal pelanggan. Melihat potensinya, saya nekad untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan ini pada tahun 2007,” katanya yang merupakan anak sulung daripada 10

adik-beradik.

Berbekalkan modal sendiri, Hungryghost Custom Inc kini berjaya mencipta reputasi tersendiri sehingga meraih kepercayaan peminat motosikal berkuasa besar di dalam dan luar negara.

Kini, ia mempunyai dua cawangan di sekitar Puchong yang menyediakan perkhidmatan modifikasi, jualan aksesori dan khidmat membaiki motosikal dengan kakitangan seramai 11 orang.

“Nama Hungryghost sebenarnya agak istimewa kerana ketika di universiti dahulu saya sering meminta makanan daripada rakan-rakan kolej pada waktu malam selepas pulang bekerja secara sambilan.

“Jadi, ada kawan-kawan yang mengusik mengatakan seperti hantu lapar kerana saya sering kelaparan pada waktu malam dan saya abadikan nama itu sebagai kenangan pernah melalui kesusahan hidup sebelum ini,” ceritanya yang juga merupakan presiden kelab motosikal berkuasa tinggi, Choppergarage.

Manual


MOTOSIKAL yang dikenali sebagai Tron ini sering mendapat perhatian umum kerana reka bentuknya yang moden dan futuristik.


Bercerita mengenai perniagaan, suami kepada Norhayu Kamarudin, 37, itu berkata, secara purata bengkelnya mampu menyiapkan modifikasi dua hingga tiga buah motosikal sebulan.

“Prosesnya agak rumit kerana sebahagian besar proses dilakukan secara manual di samping perlu mencari alat ganti yang sesuai.

“Setiap proses juga perlu dilakukan dengan teliti kerana melibatkan banyak komponen motosikal di samping memastikan kepuasan pelanggan.

“Setakat ini, alhamdulillah semua pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja yang dilakukan dan kami juga memberi jaminan terhadap sebarang kerosakan,” jelasnya yang memberitahu bengkelnya turut dikunjungi selebriti terkenal seperti Aweera yang merupakan seorang penyanyi.

Sering melakukan kajian menerusi majalah, televisyen atau internet, Ahmad Junaidi memberitahu, dia lazimnya menyerahkan kepada pelanggan untuk menentukan konsep dan rekaan motosikal.

Katanya, pihaknya hanya memberi cadangan dan idea berdasarkan bajet mereka.

“Sebut apa sahaja jenis motosikal dan modifikasi yang dikehendaki pelanggan semuanya kami terima biarpun ia berbeza daripada model sedia ada di atas jalan raya.

“Misalnya, modifikasi paling ekstrem yang pernah kami lakukan setakat ini melibatkan sebuah motosikal Kawasaki Vulcan 535.

“Dikenali sebagai Tron, motosikal itu dihasilkan tahun lalu dan diilhamkan daripada filem Tron dengan kos sekitar RM15,000.

“Menggabungkan rekaan moden dan futuristik, tidak hairanlah ia pantas meraih perhatian orang ramai sebaik sahaja ia berada di atas jalan raya,” katanya.

Menurutnya, selain menyediakan perkhidmatan modifikasi motosikal, Hungryghost Custom Inc juga aktif menyertai pelbagai karnival permotoran di seluruh negara termasuk menganjurkan Genting Bike Week sejak tahun 2012.

Konvoi

“Pada masa sama, kelab Choppergarage yang kini mempunyai seramai 60 ahli juga aktif menjalankan konvoi.

“Antara konvoi paling besar setakat ini ialah Mini Trans Peninsular kali kesembilan tahun ini di sekitar Pahang melibatkan jarak sejauh 1,530 kilometer,” ujarnya yang kini mempunyai lapan buah motosikal berkuasa tinggi daripada jenama Harley Davidson, Kawasaki dan Yamaha.

Jelasnya, dia tidak pernah menyesali tindakannya membuka perniagaan itu dan bergelumang dengan minyak dan debu biarpun mempunyai kerjaya tetap dan sumber kewangan yang kukuh.

Katanya, biarpun terpaksa bekerja keras untuk menaikkan nama Hungryghost Custom Inc ke tahap sekarang, namun apa yang penting ialah kepuasan bekerja di samping melakukan sesuatu yang diminati.

“Pada peringkat awal dahulu memang keluarga juga agak terkejut tetapi saya nekad kerana menyedari potensi perniagaan ini yang cukup luas.

“Lagipun, pengalaman dan ilmu dalam bidang kejuruteraan sebelum ini banyak membantu saya dalam menghasilkan rekaan motosikal yang baik dan selamat untuk pelanggan.

“Misalnya, sebelum ini Hungryghost Custom Inc hanya mempunyai sebuah kedai khusus untuk modifikasi, namun pada tahun 2012 cawangan kedua telah dibuka di Bandar Puchong Utama yang menjual aksesori dan khidmat penyelenggaraan motosikal. Jadi, perniagaan ini sentiasa berkembang,” katanya.

Ditanya mengenai perancangannya, Ahmad Junaidi berkata, dia mahu melahirkan lebih ramai usahawan muda yang terlibat di dalam bidang tersebut.