65 koleksi ikonik busana Saloma



GAYA pertembungan Timur dan Barat yang diilhamkan oleh Allahyarham Puan Sri Amar Salmah Ismail atau lebih dikenali sebagai Saloma telah mengangkat beliau sebagai Perintis Fesyen Malaya.

Pada zaman gemilangnya, pemilik tubuh genit dengan pinggang berukuran 21 sentimeter itu bijak merencana rekaan busana untuk digayakannya sehingga apa sahaja dipakainya akan menjadi ikutan ramai.

Sentuhan magis Biduanita Negara itu tidak lapuk ditelan zaman dan ia menjadi inspirasi pereka-pereka fesyen masa kini.

Kebijaksanaan Saloma bergaya dan mereka busana turut dikongsi oleh anak saudaranya, Siti Haslinda Abdul Hamid, 62, atau lebih dikenali sebagai Shashah yang menyifatkan arwah sebagai seorang sangat teliti dalam berfesyen dan mementingkan penampilan.

“Saloma bukan hanya mempersembahkan kemerduan suaranya, tetapi turut menghidangkan keindahan busana yang pada ketika itu masyarakat masih lagi tercari-cari hala tuju fesyen.

“Beliau akan memastikan setiap baju hendaklah bersesuaian dengan tema persembahan. Sebagai contoh, sekiranya menyanyikan lagu Cina maka, Saloma akan menggayakan busana ceongsam.

“Selain itu, solekan, dandanan rambut dan aksesori juga diberi perhatian agar penampilannya itu sempurna dari hujung rambut sampai hujung kaki,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Pameran Ikon Fesyen Retro: Saloma di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pameran yang bermula pada 8 Ogos lalu hingga 31 Oktober depan itu memaparkan sebanyak 65 koleksi fesyen terpilih Saloma. Ada antaranya mencecah usia tujuh dekad.

Shashah yang juga merupakan bekas model terkenal tanah air sekitar tahun 1980-an menyatakan cita rasa isteri kepada Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu sebagai klasik, anggun, berani dan mendahului zaman.

Ujarnya, Saloma merintis gaya pertembungan Timur dan Barat tetapi bijak menyesuaikan dengan adab budaya tempatan.

Sehubungan itu, Shashah sangat mengagumi penampilan Saloma dan sejak usia 15 tahun dia sudah pandai bergaya seperti ibu saudaranya.

Saloma juga sering menggalakkan Shashah agar sentiasa berpenampilan cantik dan kemas.

Kebaya ketat

Anak kepada seniwati legenda, Mariani Ismail itu, mengakui kehebatan Saloma berfesyen menerusi konsep suai padan dan sering memerhatikan beliau bersiap sebelum mengadakan persembahan.


TEKNIK bukrem membuatkan busana kelihatan seperti terapung.


“Saloma paling suka pakai baju kebaya ketat dengan dihiasi renda dan potongan peplum untuk menyerlahkan tubuhnya yang ramping.

“Beliau mendapatkan idea untuk mereka baju daripada majalah-majalah dan pengalamannya mengadakan persembahan di luar negara,” jelas Shashah sambil memberitahu Saloma suka berenang pada waktu lapang.

Fesyen Saloma amat unik dan menyerlahkan keberanian apatah lagi gaya sebegitu agak baharu dalam kalangan wanita Melayu yang masih kuat berpegang dengan adat budaya ketimuran.

Wanita yang berketinggian 152 sentimeter itu telah mempopularkan beberapa jenis pola potongan dan stail bagi membentuk imejnya tersendiri serta diterjemah dalam bentuk kontemporari.

Antaranya kain kipas, peplum, kain sempit, kain belah dan kebaya ketat yang masih mengekalkan ciri-ciri ketimuran walaupun terdapat unsur penambahan gaya Barat pada sesetengah busana tersebut.

“Kain kipas yang terdapat pada pakaian beliau mempunyai lima hingga 15 lipatan. Ia digayakan di bahagian belakang atau depan malah turut dipadankan dengan fabrik net, manik dan labuci.

“Sementara itu, kain belah yang digayakan di bahagian hadapan pula agak serong dan sempit.

“Ada juga kain labuh yang dipakai beliau tidak mempunyai zip dan seolah-olah disarungkan sahaja,” tutur anak kelahiran Mount Emily Road, Singapura itu.

Tambah Shasaha, kebaya ketat Saloma mempunyai potongan leher luas dan berzip di bahagian belakang baju membuatkan ia berbeza jika dibandingkan dengan kelaziman rekaan busana tersebut.

Nostalgia

Beliau juga gemar memakai busana bercirikan baju bodo iaitu sejenis pakaian tradisional yang telah dikontemporarikan dalam bentuk lebih singkat dan bersaiz kecil.

Peplum pula merupakan fesyen kegemaran wanita Melayu yang diperkenalkan oleh Saloma sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an.

Contoh peplum dan kain belah sempit terbaik yang pernah dipakai oleh beliau ialah semasa menyanyikan lagu Selamat Pengantin Baru dalam filem Madu Tiga pada tahun 1964.

Menariknya, Saloma juga telah mempopularkan potongan kebaya tradisional klasik sehingga ia diguna pakai sebagai baju seragam pramugari Malaysia Airlines Berhad dan Singapura Airlines sehingga ke hari ini.

Menurut Pengarah Muzium Tekstil Negara, Hadijah Mohd. Yunus, Pameran Ikon Fesyen Retro: Saloma bertujuan mengimbas kembali nostalgia kegemilangan Saloma dalam industri seni dan fesyen.


SETIAP baju akan diperindah dengan perincian manik serta labuci.


“Penampilannya yang menarik, segar dan berbakat besar membuatkan Saloma telah mendapat perhatian daripada artis Barat.

“Oleh itu, beliau telah diberi jolokan sebagai Marilyn Monroe of The East sekitar tahun 1958 oleh Marlon Brando yang merupakan seorang pelakon, pengarah serta aktivis filem berpengaruh dari Amerika Syarikat,” terangnya.

Bercerita lanjut mengenai pameran tersebut, Hadijah berkata, sebanyak 65 koleksi terpilih busana Saloma yang menjadi signifikan dalam kehidupan beliau sebagai artis tersohor tanah air telah dipertontonkan.

Koleksi-koleksi tersebut disimpan oleh Arkib Negara dan buat julung-julung kalinya pameran ini telah diadakan.

“Keunikan yang kami tampilkan pada pameran kali ini ialah menggunakan teknik bukrem untuk menampakkan baju tersebut kelihatan seperti terapung agar ia kelihatan lebih menarik.

“Sinonim dengan personaliti beliau sebagai Ikon Fesyen Retro Negara, kami telah mengangkat tema Tiru Macam Saya yang merupakan lagu dendangan popularnya,” ulasnya.

Selain busana, pameran tersebut turut memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat koleksi aksesori peribadi beliau seperti gelang, anting-anting, kaca mata, beg dan kasut.

Ujar Hadijah, setiap rekaan menerima sentuhan istimewa daripada Saloma bermula daripada pemilihan fabrik sehingga jahitan serta kemasan.

“Saloma menggunakan fabrik poliester yang diimport dari luar negara bagi membuat gaun, blaus dan kebaya ketat kerana beliau amat mementingkan kualiti busana.

“Jahitan manik dan labuci yang menghiasi baju beliau pula sentiasa berakhir dengan kiraan nombor ganjil. Ia merupakan adat dan kepercayaan orang Melayu,” terangnya.

Saloma gemar menggunakan perincian labuci, manik, mencipta teknik jahitan berunsur peplum dan lilitan pada bahagian lengan serta pinggang bagi menjadikan busana tersebut lebih anggun.

Di samping itu, Saloma juga banyak menggunakan padanan warna yang berbeza bagi setiap pakaiannya seperti blaus, gaun pendek dan kebaya.

Beliau juga berani menggayakan hiasan daripada buah-buahan dan ia turut dijadikan sebagai kostum dalam filem Saudagar Minyak Urat.

Hiasan seumpama itu pernah digayakan oleh Carmen Miranda dalam filem The Gang’s All Here pada tahun 1943.