Saksikan Club Mickey Mouse versi Malaysia mulai 15 September di Saluran Disney 615

06/09/2017 6:49pm


Semua Mouseketeer ketika pelancaran Club Mickey Mouse versi Malaysia mulai 15 September di Saluran Disney 615 hari ini.


KUALA LUMPUR - Saluran Disney di Astro memperkenalkan rancangan terkenal kanak-kanak, Club Mickey Mouse versi Malaysia yang pertama di Asia Tenggara bermula 15 September ini pada pukul 1.30 petang.

Rancangan Club Mickey Mouse ini telah diperkenalkan pada tahun 1955 di Amerika Syarikat dan diperbaharui sebagai program digital pertama.

Di Malaysia rancangan ini telah disusun semula menjadi rancangan kontemporari dan unik untuk menghiburkan kanak-kanak dan seisi keluarga.


Ketua Mouseketeer, Charis bersama enam Mouseketeer lain seperti Faiz, Natasya, Dheena, Erissa, Wafiy dan Gabriel.


Club Mickey Mouse versi Malaysia ini akan diketuai oleh Ketua Mouseketeer, Charis dan enam Mouseketeer lain seperti Faiz, Natasya, Dheena, Erissa, Wafiy dan Gabriel.

Menurut Ketua Mouseketeer, Charis, semua yang terlibat dilatih selama sebulan seperti menghafal 30 buah lagu dan menari bagi menjayakan rancangan 13 episod ini.

"Kami seperti satu keluarga ketika berlatih dan merakam program ini, tidak ada sedikit pun tekanan malah kami semua sangat seronok," jelasnya ketika pelancaran Club Mickey Mouse versi Malaysia hari ini.

Bagi salah seorang Mouseketeer iaitu Wafey, walaupun telah ada pengalaman berlakon dan mengacarakan program sebelum ini, pengalaman dalam menjayakan Club Mickey Mouse sangat berbeza.

"Kami menyanyi dan menari bersama-sama menghiburkan kanak-kanak serta seisi keluarga itu adalah satu pengalaman baharu," ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden, Pengurus Besar Media Networks, The Walt Disney Company Southeast Asia, Amit Malhotra berkata, pihaknya sangat berbangga kerana semua Mouseketeer sangat berbakat dan tidak sabar memperkenalkan kepada kanak-kanak.

"Kami dan Astro sangat gembira membawa rancangan ikonik ini ke Asia Tenggara dan Malaysia sebagai negara pertama menikmati rancangan yang diolah semula dan disesuaikan khusus kepada rakyat negara ini," jelasnya.

Beberapa selebriti terkenal dunia yang pernah membintangi rancangan Club Mickey Mouse adalah seperti Britney Spears, Christina Aguilera, Justin Timberlake dan Ryan Gosling. - K! ONLINE