Cinta tiga segi Kau Takdirku


MENJADI lelaki yang memendam perasaan terhadap seorang wanita, Remy sebagai Kamar menterjemahkan wataknya dengan baik.


Bukan mudah untuk menterjemahkan naskhah berpaksikan kisah cinta di layar perak. Sudah berjuta filem memaparkan cinta Adam dan Hawa di seluruh dunia. Ada yang menambat hati penonton, ada juga yang tenggelam begitu sahaja kerana gagal memberi impak.

Filem terbaharu terbitan Grand Brilliance dan Primeworks Studios tidak ketinggalan memperdagangkan nilai sama iaitu cinta. Cinta tiga segi yang apabila menjengah di pawagam, ramai yang akan mengatakan ia juga sesuatu yang klise.

Bagaimanapun, filem arahan Jason Chong yang diberi judul Kau Takdirku mempunyai kualiti yang tersendiri terutama dari segi sinematografi. Banyak adegan yang dirakam dengan indah di Pulau Tioman serta beberapa kawasan di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun menyentuh tentang naratif atau penceritaan, tidak banyak yang boleh dibanggakan. Seperti filem-filem Melayu lain yang menjual elemen cinta sesama manusia, ternyata Kau Takdirku berakhir dengan emosi yang tiada faktor X.

Walaupun terdapat bahagian yang bagus tentang filem ini iaitu sinematografinya, namun dari sudut teknikal banyak yang masih boleh diperbaharui.

Menjalani kebanyakan babak di kawasan pantai, mustahil ‘pemandangan’ yang dipancarkan di layar perak sukar memancing penonton.


BRONT tidak pernah mengecewakan penonton dengan mutu lakonannya yang berkualiti.


Watak Kamar (lakonan Remy Ishak) dijayakan dengan sempurna, namun perkembangan watak itu terbantut sedangkan permainan jiwa seorang lelaki yang menyimpan rasa cinta terhadap wanita boleh dihayati lebih mendalam. Barangkali, pengarah boleh membiarkan penonton lebih menyelami karakter Kamar dengan menyeluruh.

Kualiti lakonan

Bagi segelintir penonton, mereka mungkin tidak mempunyai rasa kasihan terhadap watak Kamar, sebaliknya menyifatkan dia sebagai seorang lelaki yang dungu atau tiada keberanian untuk meluahkan rasa cinta terhadap kekasih.

Buat heroinnya, Ezzaty Abdullah, tugasannya melakonkan watak Alya tidak terlalu menghampakan. Bukan mudah untuk menjayakan watak seorang wanita yang jatuh cinta dengan ‘dua orang lelaki’.

Mempunyai wajah yang komersial, banyak ruang yang sebenarnya boleh diisi Ezzaty dalam menterjemahkan watak Alya.

Barangkali, filem yang ‘diperam’ selama tiga tahun ini terlalu lama disimpan membuatkan beberapa adegan tidak logik untuk dihadam minda apabila ia ditayangkan pada tahun ini.

Melakonkan watak ‘bad boy’ atau lelaki nakal bernama Harris, tiada siapa dapat menafikan impak lakonan yang ditinggalkan Bront Palarae.


EZZATY (tengah) menjayakan watak Alya dengan cemerlang.


Menjadi halangan kepada hubungan cinta antara Alya dan Kamar, mungkin segelintir peminat lebih memberi ihsan kepada watak Harris walaupun Kamar yang menanggung derita yang sejak permulaan cerita.

Pasti gandingan Remy dan Bront mudah memancing golongan kaki wayang berdasarkan kredibiliti mereka sebagai pelakon yang versatil. Seperkara lagi, tidak adil rasanya jika ada yang menyamakan kualiti filem ini pada tahap drama televisyen.

Sudah tentu Jason sebagai pengarah telah meletakkan usaha dan komitmen 100 peratus untuk menterjemahkan kisah cinta Alya, Kamar dan Harris pada tahap yang terbaik.

Selebihnya terpulang kepada cita rasa dan pandangan masing-masing kerana Kau Takdirku mempunyai pengisian tersendiri yang mahu dikongsi bersama penonton.