Timba ilmu memelihara hidupan liar

10 orang Hero Hidupan Liar ditauliahkan secara rasmi pada acara perasmian yang disempurnakan oleh Calvin.


masa permohonan ditutup hanya berbaki sejam, Alexandria Ng, 9, dengan dibantu ibunya, Selina Ling, 39, cepat-cepat memuat naik video pengenalan diri berdurasi tiga minit pada satu laman web yang menjelaskan mengapa dia layak dipilih sebagai Hero Hidupan Liar.

Anak kelahiran Subang Jaya, Selangor itu telah memuat naik video mengenai dirinya yang suka membaca buku-buku berkaitan alam semula jadi dan haiwan.

Ternyata, tuah berpihak kepada anak sulung daripada dua orang adik-beradik itu.

Pada 15 Ogos lalu, Alexandria diumumkan sebagai salah seorang daripada 10 orang pemenang. Dia kemudiannya menghadiri mesyuarat Ahli Majlis pertama selama tiga hari dua malam di Sunway Lost World of Tambun (SLWOT) pada 28 hingga 30 Ogos lalu.

“Saya sangat seronok apabila terpilih mengikuti program ini kerana berpeluang merasai pengalaman kali pertama tidur di dalam khemah bertemankan persekitaran semula jadi.

“Rakan-rakan lain juga banyak membantu dalam tempoh tersebut membuatkan saya berasa lebih berani dan yakin walaupun tanpa ibu bapa di sisi,” ujar pelajar darjah tiga Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tun Tan Cheng Lock, Subang Jaya itu.

Selain tidur di dalam satu khemah bersama tiga rakan lain, Alexandria kesempatan mengembara trek malam, mendaki sebanyak 630 anak tangga untuk sampai ke Gua Datok yang sarat dengan sejarah perlombongan di daerah Tambun suatu ketika dahulu.

“Saya agak takut sewaktu berada di dalam gua kerana laluannya agak mencabar selain ia dilakukan pada waktu malam.

“Paling mendebarkan apabila salah seorang pengiring kami keluar daripada pagar penghadang di tebing gua bagi mencari petai belalang untuk ditunjukkan kepada kami. Kawasan di situ sangat tinggi dan berbahaya kerana permukaannya licin serta tidak sekata,” akui peserta paling muda dalam kelompok 10 orang itu.

Hero Hidupan Liar merupakan sebuah program anjuran taman tema Sunway untuk mendekatkan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun dengan alam semula jadi dan hidupan liar.

Seramai 10 kanak-kanak telah dipilih berdasarkan video pendek berkenaan berkaitan diri masing-masing, haiwan yang paling tepat mewakili diri mereka dan sebab perlu dipilih sebagai Hero Hidupan Liar.

Calon yang terpilih diberi gelaran Hero Hidupan Liar atau Ahli Majlis dan layak mendapat pelbagai hadiah menarik seperti wang tunai, pakaian seragam termasuk topi, lencana serta keahlian eksklusif taman tema Sunway.

Pada mesyuarat pertama, Ahli Majlis didedahkan dengan sesi interaksi dengan haiwan dan cara melindunginya menggunakan pendekatan santai dan informatif daripada pengiring serta ahli zoologi bertauliah.

Sebagai Ahli Majlis, kesemua 10 orang hero cilik yang berani dan komited terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar itu juga diberi peluang untuk mengusulkan buah fikiran masing-masing tentang cara-cara untuk meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga kelestarian alam dan hidupan liar.

Mesyuarat Ahli Majlis yang berlangsung di SLWOT itu merupakan siri pertama daripada empat sesi perjumpaan yang dirangka sepanjang tahun.

Kemahiran


Hero Hidupan Liar tidak melepaskan peluang bergambar bersama badak air betina bernama Juwita yang menjadi tarikan utama di Hippo Kingdom, SLWOT.


Setiap suku tahun, satu mesyuarat berserta aktiviti lapangan mengumpulkan kesemua Ahli Majlis akan diadakan di kedua-dua taman tema Sunway secara berselang-seli iaitu SLWOT dan Sunway Lagoon.

Sepanjang tempoh tiga hari dua malam tersebut, hero cilik itu berpeluang mengembangkan kemahiran berbeza seperti berkhemah, bengkel keyakinan dan keselamatan air, membina rakit, kembara malam, menyelusuri Terowong Batu Enam yang kaya dengan stalaktit dan stalagmit berusia jutaan tahun, lawatan interaktif ke Pusat Haiwan serta lawatan ke zoo haiwan jinak pada waktu malam.

Berkongsi pengalaman sebagai Steve Irwins dan Jane Goodalls ialah Ahmad Iszuddin Ahmad Izham, 11.

Pelajar darjah lima Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Petaling Jaya itu pernah mencuri perhatian ramai sebelum ini dengan membuat biskut dan roti untuk dijual. Hasil jualan itu kemudiannya disumbangkan kepada Persatuan Pemuliharaan Penyu di Terengganu memandangkan dia sangat menyukai haiwan tersebut.

“Sebaik ibu mendapat tahu mengenai pencarian Hero Hidupan Liar menerusi Facebook, dia lantas mengusulkan agar saya menyertainya memandangkan minat saya terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar terutama penyu.

Kongsi ilmu


Peserta dilatih menggunakan tali menyemberangi kolam menuju ke pintu Terowong Batu Enam.


“Menerusi program ini saya berpeluang untuk mendekati hidupan liar dan memahami tingkah laku haiwan dengan lebih baik. Saya berharap dapat melindungi populasi dan habitat haiwan daripada diancam kepupusan,” tekadnya yang sedih setiap kali dihidangkan dengan berita kematian haiwan laut itu akibat tindakan manusia, misalnya termakan plastik yang dibuang di laut.

Jelas anak bongsu daripada lima orang adik-beradik itu, dia pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti seumpama itu sekiranya ditawarkan lagi pada masa hadapan.

“Segala maklumat yang diperoleh sepanjang program ini pasti akan dikongsi bersama rakan-rakan lain agar mereka juga dapat meningkatkan kesedaran untuk melindungi hidupan liar,” ujarnya.

Menurut ahli zoologi SLWOT, Nurliza Abdul Majid, pihaknya sentiasa komited untuk membantu dan berkongsi maklumat berkenaan hidupan liar yang terdapat SLWOT kepada semua pengunjung.

“Sebagai sebuah taman tema keluarga, kebanyakan kumpulan pengunjung yang hadir turut disertai kanak-kanak.

“Justeru, kami perlu memberi penerangan dalam bahasa mudah difahami namun, tetap informatif agar pengisiannya dapat dimanfaatkan sepenuhnya terutama apabila melibatkan kesedaran memelihara hidupan liar,” ujarnya yang telah menyumbang bakti selama hampir sedekad di SLWOT.