Umat Islam harus mencontohi Sabariah


Sabariah tidak mengenal penat melakukan kerja amal walaupun telah berumur 70 tahun.


NAMA penuhnya ialah Sabariah Hussein, tetapi di Montreal, Kanada dia dikenali sebagai Sister Sabriah.

Anak Malaysia kelahiran Johor ini berhijrah ke Kanada kira-kira 30 tahun lalu dan kini menempa nama di negara itu kerana kerja amalnya.

Usaha sukarelanya menyediakan makanan percuma untuk 300 orang setiap hari pada bulan Ramadan yang lalu mendapat publisiti yang luas melalui internet bukan sahaja di Kanada malah di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Selain menyediakan makanan Ramadan untuk semua kaum dan agama, dia juga mengendalikan Our 2nd Home Shelter, rumah perlindungan gelandangan yang juga menyediakan makanan untuk semua orang.

Walaupun berusia 70 tahun, Sabariah tidak mengenal penat lelah dalam menjalankan kerja amalnya dengan bantuan sebilangan sukarelawan daripada pelbagai kaum dan agama.

“Apa yang saya buat bukanlah untuk mencari publisiti, tetapi saya hendak memberitahu semua bahawa orang Islam adalah baik,” katanya kepada Montreal Gazette.

Tabik kepada Sabariah yang berdakwah melalui amal perbuatan, bukan sekadar bercakap.

Kerja amal dan contoh teladan melalui akhlak yang mulia ini sepatutnya lebih banyak dilakukan oleh umat Islam sebagai satu gerakan dakwah.

Tanpa mengira kaum dan agama, tentulah impaknya lebih besar daripada berdakwah sekadar melalui percakapan.

Apatah lagi pada zaman persepsi terhadap umat Islam semakin memburuk ekoran keganasan yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan militan terhadap orang awam.

Agama Islam tidak akan berkembang pesat jika Rasulullah SAW hanya bercakap tanpa menjadikan dirinya sebagai contoh manusia yang berakhlak mulia.

Ayat 4 surah al-Qalam: Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.

Terlalu banyak kisah contoh yang diceritakan dan ditulis turun-temurun mengenai akhlak mulia Nabi Muhammad.

Bermuhasabah

Tidak perlulah diulangi kisah-kisah tersebut dalam ruangan yang terhad ini. Memadailah secara keseluruhan kita bermuhasabah dengan realiti akhlak umat Islam pada hari ini.

Usahlah bercakap tentang usaha insan seperti Sabariah yang sanggup berkorban masa, wang dan tenaga untuk berdakwah kepada bukan Islam melalui kerja amal kebajikan.

Sebenarnya dakwah melalui perbuatan boleh dilakukan dengan mudah oleh umat Islam melalui akhlak mulia dalam kehidupan seharian di tempat kerja, rumah dan luar rumah.

Sebagai contoh adakah umat Islam pengguna jalan raya yang paling berpekerti mulia? Adakah kita pemandu yang paling bertoleransi terhadap lain-lain pengguna jalan raya?

Jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan ini boleh dibuat mudah melalui pengamatan dan pengalaman harian di jalan raya.

Jawapannya ialah umat Islam tidak boleh menjadi contoh pemandu terbaik di jalan raya, sebagaimana dalam aspek kehidupan yang lain.

Wajah siapakah yang sering terpampang di akhbar dewasa ini kerana ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia?

Siapakah yang paling banyak terlibat dalam jenayah seks termasuk sumbang mahram?

Umat Islam diajar melalui Quran dan hadis yang banyak mengenai pentingnya berakhlak mulia.

Ayat 110 surah Ali-Imran: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.


Sabariah turut melakukan kerja sukarela dengan menyediakan makanan percuma untuk 300 orang setiap hari di Kanada pada bulan Ramadan lalu.


Beriman

Hadis Bukhari dan Muslim turut meriwayatkan: Sesungguhnya yang terbaik di antara kamu semua adalah yang paling baik akhlaknya.

Hadis Tirmidzi meriwayatkan: Sesungguhnya orang yang paling aku cinta dan paling dekat kedudukan dengan majlisku pada hari kiamat nanti adalah orang yang paling baik. Sebaliknya orang yang aku benci dan paling jauh dari diriku adalah orang yang terlalu banyak bercakap dan sombong.

Jelas bahawa ramai umat Islam abad ini tidak lagi menjadi umat contoh sebagaimana dulu kerana mereka tidak beriman.

Jika mereka beriman sebagaimana umat Islam dulu, tentulah mereka bukan sahaja dihormati oleh manusia lain, tetapi akan menjadi ikutan sebagaimana Nabi Muhammad SAW yang berdakwah melalui cakap, akhlak dan amal perbuatan.

Pada hari ini banyak yang hanya pandai bercakap, tetapi tidak serupa bikin.