Korea Utara beri amaran lebih keras kepada AS


REUTERS - JONG-UN (dua dari kiri) mempamerkan reaksi gembira semasa meraikan kejayaan saintis dan jurutera nuklear Korea Utara dalam satu majlis di Pyongyangbar, baru-baru ini.


PYONGYANG – Korea Utara memberi amaran bahawa Amerika Syarikat (AS) akan membayar “harga setimpal” kerana menerajui usaha menguatkuasakan sekatan baharu terhadap rejim Kim Jong-un susulan ujian nuklear keenam Pyongyang.

“Sekiranya AS mengubah resolusi haram (Majlis Keselamatan) untuk mengenakan sekatan lebih teruk, Korea Utara akan pastikan AS membayar “harga setimpal”, kata seorang jurucakap Korea Utara dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi KCNA.

“Korea Utara telah membangunkan dan menyempurnakan senjata nuklear sebagai kaedah untuk mencegah kekerasan dan ancaman nuklear AS,” tambahnya.

Sementara itu, beberapa diplomat berkata, draf resolusi sekatan baharu AS itu akan diundi oleh anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lewat semalam.

Bagaimanapun, draf asal AS yang antara lain meminta sekatan minyak, pengharaman eksport tekstil dan larangan sekatan perjalanan terhadap Jong-un telah dipinda bagi memenuhi permintaan China serta Rusia.

Draf baharu tidak lagi menyenaraihitamkan Jong-un dan meri–ngankan sekatan terhadap minyak serta gas tetapi masih mengekalkan sekatan eksport tekstil terhadap Pyongyang.

Korea Utara menerima kecaman global kerana melakukan ujian nuklear keenamnya pada 3 September lalu yang didakwa Pyongyang sebagai letupan bom hidrogen.

Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Jens Stoltenberg berkata kelmarin bahawa tindakan melulu itu mencetuskan ancaman global dan dunia perlu bertindak untuk menangani Korea Utara. – Reuters