32 pelajar berentap di pertunjukan fesyen UiTM

Pemenang-pemenang Pertunjukan Fesyen Ijazah Sarjana Muda UiTM dan para peserta yang lain di atas pentas bersama Alias (depan, dua dari kanan) selepas keputusan diumumkan.


KESENIAN masyarakat Murut di Sabah menjadi inspirasi Junaidi Udan, 24, dalam penghasilan busananya untuk dipertandingkan di pentas Pertunjukan Fesyen Ijazah Sarjana Muda Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Black Box, Pusat Beli-Belah SACC, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Junaidi yang berketurunan kaum Murut berbangga dapat menonjolkan kesenian masyarakatnya di pentas pertunjukan fesyen itu.

“Motif kebudayaan dan kraf tangan masyarakat Murut menjadi kekuatan busana ini dengan gabungan warna tiga rona iaitu biru, hitam dan oren telah menyerlahkan persalinan tersebut.

“Saya mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan lima baju ini bagi menyempurnakan tugasan pelajar tahun akhir sebelum membolehkan kami menggenggam segulung ijazah,” katanya yang berasal dari Tenom, Sabah kepada Kosmo! baru-baru ini.

Anak keempat daripada lima beradik itu membelanjakan RM7,000 untuk menyiapkan kesemua baju tersebut.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Shah Alam itu menggunakan fabrik kulit, kapas salsa dan renda.

Kesungguhan dan daya kreativitinya dalam penghasilan busana-busana tersebut telah menobatkannya sebagai pemenang tempat pertama sekali gus menepis saingan sengit 31 peserta yang lain.

“Saya berasa sangat gembira dan bersyukur dengan kemenangan ini kerana masing-masing memberikan persaingan sengit.

“Kejayaan ini membuatkan saya berkobar-kobar untuk terus berkarya bagi menghasilkan busana-busana lebih menarik pada masa akan datang dan mencipta nama dalam bidang rekaan fesyen,” ujarnya yang menggemari rona hitam dan putih.

Hadiah

Junaidi berkata, dia belajar menjahit ketika menuntut di Sekolah Menengah Teknik Keningau (kini dikenali sebagai Kolej Vokasional Keningau) apabila mengambil jurusan rekaan fesyen. Jurusan itu membolehkannya mempelajari teknik jahitan dan ilmu asas sebagai pereka fesyen.

Akui Junaidi, pentas pertunjukan fesyen itu menjadi platform untuknya mencurahkan bakat dan kreativitinya dalam bidang seni reka fesyen.

Pertunjukan Fesyen Ijazah Sarjana Muda UiTM merupakan acara tahunan yang perlu disempurnakan oleh pelajar-pelajar tahun akhir jurusan Seni Reka Fesyen.

Pemenang tempat pertama bagi pertunjukan fesyen itu meraih wang tunai RM700 manakala tempat kedua (RM500) dan tempat ketiga (RM300). Setiap pemenang itu turut dihadiahkan trofi dan barangan SimplySiti.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM, Prof. Madya Alias Yussof.

Daripada 32 peserta itu, seramai 12 peserta termasuk pemenang tempat pertama hingga ketiga dipilih menyertai Ciputra World Fashion Week 2017 di Surabaya, Indonesia pada 30 September ini.

12 pelajar itu akan mempersembahkan busana rekaan mereka yang telah dipertandingkan di Pertunjukan Fesyen Ijazah Sarjana Muda UiTM baru-baru ini.

Sementara itu, pemenang tempat kedua bagi pertandingan tersebut, Nor Haziqah Tumin, 23, mengetengahkan konsep kasual yang diinspirasikan daripada tekstur cendawan.

“Saya membuat penyelidikan bagi mendapatkan konsep yang sesuai untuk menghasilkan busana ini.

“Saya melihat keunikan bentuk cendawan yang berlapis-lapis lantas ingin cuba bereksperimentasi ke dalam rekaan saya,” jelas anak kelahiran Muar, Johor itu.

Pakaian yang direka oleh Nor Haziqah sesuai untuk dipakai pada musim sejuk dan sasaran pasaran adalah bagi negara-negara empat musim.

Bagi menghasilkan busana tersebut, fabrik PD lace digunakan untuk baju manakala seluar pula menggunakan kain denim.

Terangnya, dia sangat menyukai fabrik denim kerana ia memberikan imej segar dan penampilan lebih ranggi.

Berkongsi pengalamannya menyertai pertandingan tersebut, Nor Haziqah berkata, ia merupakan platform terbaik untuk pelajar-pelajar mempersembahkan idea-idea segar.

“Kami didedahkan dengan dunia pereka fesyen yang sebenar bermula dengan penyelidikan, pencarian bahan, menyiapkan busana, mempersiapkan model dan persediaan secara keseluruhan untuk peragaan fesyen.

“Saya melihat banyak busana yang indah dan unik dilahirkan di sini oleh pereka-pereka muda berbakat besar,” tuturnya yang menyukai gaya santai dan kasual.

Ilmu

Anak kedua daripada lima beradik itu turut merakamkan jutaan terima kasih kepada pensyarah yang banyak mencurahkan ilmu dan memberi tunjuk ajar.

Nor Haziqah juga amat teruja dan tidak sabar untuk melihat pelbagai koleksi busana yang bakal dipersembahkan oleh para pereka hebat di Ciputra World Fashion Week 2017 nanti.

Dia juga akan membuat penambahbaikan bagi dua busana terbaiknya untuk diperagakan di pentas pertunjukan fesyen yang berprestij itu.

Bagi pemenang tempat ketiga, Syazwani Sukri, 24, pula, dia mengetengahkan konsep seni Orang Asli Mah Meri untuk mengangkat keindahan dan keunikan seni masyarakat itu.

“Kita kurang mengambil tahu mengenai masyarakat Orang Asli sehingga kehadiran mereka dalam masyarakat dirasakan sangat ganjil, tidak seperti kaum-kaum lain misalnya Cina atau India.

“Oleh itu, saya rasa bertanggungjawab untuk ‘membawa mereka’ ke dalam rekaan ini agar lebih dekat di hati kita dan tidak tersisih jauh,” jelasnya yang berasal dari Bachok, Kelantan.

Syazwani menyulam setiap busana yang dihasilkannya itu bagi menonjolkan identiti Orang Asli Mah Meri.

Dia mengambil masa satu hingga empat minggu untuk menyiapkan sulaman pada setiap satu busana.

Syazwani mengikuti jejak langkah ibunya yang merupakan seorang tukang jahit. Pada usia 15 tahun, anak kedua daripada lima beradik itu sudah pandai menjahit dan memiliki mesin jahit sendiri.

Dia bersyukur dengan adanya peluang sebegini membolehkannya menonjolkan bakat dan membuktikan kebolehan diri.