Jenazah Tuanku Abdul Halim selamat dimakamkan

12/09/2017 7:50pm


Jenazah Almarhum Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar.


ALOR SETAR - Jenazah Almarhum Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar di sini pada pukul 5.45 petang ini.

   

Jenazah Almarhum sebelum itu dibawa ke makam diraja tersebut dengan pedati khas berwarna kuning dari Istana Anak Bukit di sini.

Sebanyak 89 das tembakan daripada 11 buah meriam dilepaskan ke udara oleh 41 Bateri Artileri Istiadat Rejimen Artileri Diraja berpangkalan di Kem Sungai Buloh sepanjang jenazah Almarhum dibawa ke Makam Diraja Langgar.

    

Ribuan rakyat jelata beratur di sepanjang jalan ke makam diraja itu bagi memberi penghormatan kepada jenazah Almarhun Tuanku Abdul Halim yang dikasihi buat kali terakhir.

  

Makam Almarhum Sultan Kedah terletak bersebelahan makam isteri pertama, Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman.

Selepas selesai istiadat pemakaman, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang membaca doa dan talkin.

Sultan Kedah yang baharu dimasyhurkan, Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah, 75, mendahului keluarga diraja menjirus air mawar dan menabur bunga serta diikuti kerabat diraja lain.

Tuanku Sallehuddin merupakan adinda kepada Almarhum Tuanku Abdul Halim.

Turut menjirus air mawar ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

 

Almarhum Tuanku Abdul Halim, 90, yang memerintah Kedah selama 59 tahun mangkat di Istana Anak Bukit pada pukul 2.30 petang semalam. - K! ONLINE