Sekatan PBB ‘jerut’ Korea Utara


Haley berucap semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai Korea Utara di Bandar Raya New York kelmarin. - REUTERS


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York - Majlis Keselamatan PBB sebulat suara meluluskan sekatan baharu lebih ketat ke atas Korea Utara kelmarin ekoran ujian nuklear Pyongyang yang keenam dan paling kuat pada 3 September lalu.

Resolusi itu merupakan sekatan kesembilan yang dipersetujui sebulat suara oleh 15 negara anggota Majlis Keselamatan sejak tahun 2006 bagi mengekang program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Amerika Syarikat (AS) mengubah draf awal sekatan tersebut yang lebih tegas untuk mendapatkan sokongan sekutu Pyongyang iaitu China dan Rusia.

“Kami bukan mendapat kepuasan dengan mengetatkan lagi sekatan pada hari ini. Kami bukan mahukan peperangan.

“Sekiranya Pyongyang bersetuju untuk menghentikan program nuklear, ia boleh membina semula masa depannya tetapi sekiranya Korea Utara meneruskan laluan berbahaya ini, kami akan mengenakan tekanan seterusnya,” kata Duta AS ke PBB, Nikki Haley kepada Majlis Keselamatan selepas sesi pengundian.

Beliau memuji hubungan kukuh antara Presiden AS, Donald Trump dan rakyat sejawatnya dari China, Xi Jinping yang membawa kepada kejayaan resolusi itu.

Seminggu lalu, Haley meminta sekatan ‘paling tegas’ dikenakan, namun selepas berunding beberapa hari, Washington akhirnya menggugurkan beberapa tuntutan untuk mendapatkan sokongan Rusia dan China termasuk sekatan minyak dan menyenaraihitamkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un serta syarikat penerbangan negara itu.

Di bawah resolusi terbaharu PBB, Korea Utara kini dilarang daripada mengeksport tekstil, iaitu eksport kedua terbesar Pyongyang selepas arang batu pada tahun 2016.

Menurut perangkaan Agensi Promosi Perdagangan dan Pelaburan Korea, eksport tekstil Korea Utara pada tahun lalu berjumlah AS$752 juta (RM3.16 bilion) dengan 80 peratus dihantar ke China.

Selain itu, Pyongyang dikenakan sekatan import gas asli cecair dan mampat, had dua juta tong untuk produk petroleum ditapis dan had import minyak mentah. China membekalkan sebahagian besar minyak mentah ke negara jirannya itu.

Menurut seorang pegawai AS, Korea Utara mengimport sebanyak 4.5 juta tong produk petroleum ditapis dan empat juta tong minyak mentah setahun.

“Resolusi ini juga menamatkan rejim Jong-un daripada meraih pendapatan daripada 93,000 rakyat Korea Utara yang dihantar ke luar negara untuk bekerja dalam bentuk cukai yang tinggi. Sekatan ini akan mengurangkan pendapatan tahunan Pyongyang sebanyak AS$500 juta (RM2.1 bilion) atau lebih lagi,” kata Haley. – Reuters