Sonakshi, Apoorva batal kerjasama


Sonakshi Sinha


Apabila sesuatu perkara tidak berhasil sebagaimana yang dirancang, impaknya adakala tidak boleh diterima oleh sesetengah pihak. Perkara berkenaan bagaimanapun tidak berlaku dalam kamus hidup pelakon, Sonakshi Sinha dan pengarah, Apoorva Lakhia.

Sonakshi sepatutnya menggalas watak utama dalam filem arahan Apoorva berjudul Haseena Parkar namun terpaksa menarik diri disebabkan kekangan tertentu.

Ditanya tentang sama ada mereka bermasam muka, Apoorva menafikan hal tersebut.

“Saya tahu ramai yang membuat spekulasi tentang pengunduran Sonakshi daripada berlakon dalam filem arahan saya.

Jawapannya ringkas, dia telah bersetuju namun disebabkan perubahan jadual penggambaran, dia terpaksa menolak dan saya faham hal itu.

“Saya katakan kepadanya tidak mengapa kalau dia menarik diri kerana banyak perkara telah berlaku. Dia juga mengucapkan selamat berjaya kepada saya usai menarik diri daripada projek ini,” ujar Apoorva yang menafikan bermasam muka dengan aktres itu.

Watak untuk Sonakshi, Haseena dijayakan pelakon lain iaitu Shraddha Kapoor dan Apoorva gembira dengan komitmen pelakon jelita itu.

“Shraddha seorang pelakon yang bagus. Dia tidak banyak masalah dan pelakon paling tepat untuk melakonkan watak sebagai Haseena,” ujar Apoorva.