Tunku Sallehuddin Sultan Kedah ke-29


TUNKU SALLEHUDDIN dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah baharu di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dimasyhur sebagai Sultan Kedah yang baharu berikutan kemangkatan kakanda baginda, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit di sini semalam.

Pemasyhuran Sultan Kedah ke-29 itu dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah setelah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja.

Perkara Sembilan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan pelantikan untuk menaiki takhta kerajaan negeri Kedah adalah ditetapkan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja.

Selepas dimasyhurkan, Pe­ngelola Bijaya Diraja dan Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah menghadap Tunku Sallehuddin, 75, untuk mengiringi baginda ke singgahsana yang terletak di Balai Penghadapan Baru.

Syed Unan kemudian melaungkan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali yang disambut oleh hadirin dan serentak itu, paluan nobat serta tiupan nafiri dikumandangkan.

Istiadat itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Tunku Sallehuddin kemudian menyentuh peterana Almarhum Sultan Abdul Halim menandakan istiadat pemakaman akan dimulakan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.