Aksi sukar menanti The Bos Gaurus


DURAKOVIC (kiri) akan membariskan pemain terbaik pada aksi menentang Pahang dalam saingan suku akhir pertama di Kuantan Sabtu ini.


SKUAD Perak terpaksa berdepan laluan getir selepas dijadualkan menentang Pahang pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2017 di Stadium Darul Makmur, Kuantan Sabtu ini.

Jurulatih skuad The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic ketika dihubungi Kosmo! mengakui pasukan yang dikenali dengan gelaran Tok Gajah itu mempunyai kesebelasan pemain yang mantap di setiap posisi.

“Perlawanan pertama di tempat lawan sudah tentu menjanjikan saingan sukar buat para pemain Perak.

“Saya mengharapkan para pemain segera sembuh daripada sebarang kecederaan dan bersedia berjuang sebaik-baiknya apabila berhadapan dengan Pahang,” katanya.

Perak mempamerkan aksi cemerlang pada pe­ringkat kumpulan selepas muncul juara Kumpulan B dengan rekod lima kemenangan dan satu seri.

Bagi Durakovic, enam perlawanan tanpa kalah merupakan satu pencapaian yang membanggakan buat pasukannya dan kecemerlangan itu akan diteruskan di peringkat suku akhir.

“Kita akan membariskan pemain terbaik untuk menentang Pahang pada aksi pertama dan kedua perlawanan suku akhir nanti.

“Apa yang penting para pemain perlu bermain secara berkumpulan dengan sehabis baik mengikut perancangan yang ditetapkan,” katanya.