Felicia lebih gemar merendah diri


FELICIA enggan memikirkan tekanan sebaliknya mahu memberi aksi terbaik dalam tiga acara yang bakal disertai pada Sukan PARA ASEAN bermula Ahad ini.


RATU pecut skuad olahraga para negara, Felicia Mikat enggan membenarkan dirinya terjejas terhadap tekanan dan jangkaan tinggi da­ripada ramai pihak pada temasya Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur bermula 17 hingga 23 September ini.

Begitupun, Felicia, 18, tetap yakin mampu mempertahankan tiga pingat emas yang dimenanginya dalam acara 100 meter (m), 200m dan 400m kategori T13 (masalah penglihatan) pada edisi dua tahun lalu di Singapura.

Justeru, atlet pecut dari Tambunan, Sabah itu lebih gemar memastikan lariannya berada pada tahap terbaik dengan menyasarkan untuk memperbaiki rekod peribadinya terutama dalam acara 100m.

“Di Singapura dahulu merupakan pentas pertama saya dalam Para ASEAN. Sudah tentu pada penampilan ke­dua ini saya mahu memberikan prestasi yang lebih baik.

“Saya ada juga merasai tekanan, oleh sebab itu saya langsung tidak mahu memikirkan mengenai pingat. Kejayaan akan datang kalau saya berjaya memberikan larian terbaik dalam setiap acara yang disertai nanti.

“Saya yakin sebab persediaan berjalan baik dan lancar. Semangat saya juga tinggi kerana berlari di negara sendiri,” katanya pada sesi latihan skuad olahraga para negara di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.

Dua tahun lalu di Singapura, Felicia berjaya meraih pingat emas 100m T13 dan 200m T13 menewaskan atlet Brunei, An Nur Haiyyu Md. Yussof dan Dong Thi Hai Yen dari Vietnam yang masing-masing meraih perak serta gangsa dalam dua acara tersebut.

Felicia juga membuktikan kehebatannya apabila meraih pingat emas ketiga peribadi dalam acara 400m T13, sekali lagi menewaskan An Nur Haiyyu dan wakil Laos, Vongdala Souliphone di tempat kedua serta ketiga.

Sehubungan itu, Felicia dilihat tidak berdepan masalah untuk mempertahankan tiga pingat emas tersebut walaupun tentangannya pada edisi kali ini dilihat lebih sukar memandangkan bakal berentap dengan ‘muka-muka’ baharu daripada negara-negara lain.

Malah, pengurus skuad olahraga para negara, Mohd. Zarawi Ravi Abdullah percaya terhadap kebolehan Felicia apabila acara olahraga membuka tirai dari 18 hingga 22 September ini.