Jing Yi harap tuah Korea Selatan


JING YI yang berpasangan dengan Fie Cho akan menentang beregu India pada pusingan pertama kejohanan Siri Super di Terbuka Korea di Seoul hari ini.


PEMAIN beregu wanita negara, Tee Jing Yi berharap penampilan kali pertama pada kejohanan Siri Super di Terbuka Korea Selatan sejak menyertai acara tersebut membawa tuah buat dia dan pasangan, Soong Fie Cho.

Memandangkan belum pernah beraksi dalam mana-mana kejohanan Siri Super sejak digandingkan awal tahun ini, Jing Yi yang juga bekas pemain perseorangan wanita No.1 negara mengakui mereka menggalas misi sukar pada kejohanan yang berlangsung di Stadium SK Handball, Seoul itu.

Bagaimanapun, Jing Yi optimis mereka mampu melangkah lebih jauh pada kejohanan tersebut sekiranya menampilkan permainan sebenar.

“Ini (Terbuka Korea) adalah kejohanan Siri Super pertama saya sejak beralih angin ke acara beregu wanita. Paling penting adalah untuk tampilkan aksi terbaik kami di sini (Korea) dan tidak terikut-ikut permainan lawan.

“Saya akui saingan Siri Super cukup berbeza jika dibandingkan dengan kejohanan Grand Prix (GP) atau GP Emas kerana membariskan pemain ternama serta berkualiti. Kami ada peluang tetapi perlu bermain pada tahap terbaik,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Setakat ini, gandingan yang berada pada ranking ke-138 dunia sudah memiliki dua gelaran iaitu Siri Antarabangsa (IS) Terbuka Indonesia serta IS Terbuka Malaysia.

Jing Yi-Fie Cho akan membuat perhitungan dengan beregu dari India, Ashwini Ponnappa-N. Sikki Reddy pada pusingan pertama hari ini dan Jing Yi sedar dengan ancaman yang mampu diberikan gandingan No.24 dunia tersebut.

“Lawan esok (hari ini) sangat sukar, jadi kami perlu lakukan persiapan rapi serta fokus sepanjang perlawanan. Sudah pasti kami tidak boleh ambil mudah perlawanan tersebut kerana kami mahu melangkah ke pusingan kedua.

“Kami tidak pernah bertemu mereka sebelum ini tetapi saya, Fie Cho dan jurulatih sudah berbincang serta membuat analisis mengenai gaya permainan mereka. Saya harap ia mampu membantu kami apabila turun ke gelanggang,” ujarnya.