Trump, Najib adakan perbincangan di Rumah Putih

13/09/2017 3:20pm


Trump ketika menyambut Najib di Rumah Putih hari ini.


WASHINGTON, D.C, - Perbincangan Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berlangsung di Rumah Putih dalam satu pertemuan yang bakal membuka lembaran baharu selepas 60 tahun Amerika Syarikat menjalinkan hubungan dua hala dengan satu daripada rakan strategiknya di Asia Tenggara itu.

Trump menyambut mesra Najib sejurus beliau tiba untuk menghadiri pertemuan empat mata di Rumah Putih yang terletak di Pennsylvania Avenue, yang juga merupakan lawatan pertama pemimpin Malaysia itu ke pejabat dan kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat itu.

Perbincangan dengan Trump adalah kemuncak lawatan kerja Najib ke Amerika Syarikat atas jemputan Presiden Ke-45 negara itu yang mula berkhidmat pada 20 Jan tahun ini.

Program di Rumah Putih turut merangkumi mesyuarat delegasi melibatkan anggota dan penasihat pentadbiran Trump serta para menteri dan pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Kedua-dua pemimpin itu dijangka mengeluarkan kenyataan bersama selepas mengakhiri pertemuan mereka di Rumah Putih, yang menyaksikan Washington dan Kuala Lumpur meraikan hubungan dua hala selama enam dekad tahun ini. - Bernama